Kenneth yang berumur 2 tahun tiba-tiba hilang. Namun dalam masa 3 minit setelah ibunya menelefon pihak polis, seorang pekerja kecemasan menemuinya di pesta ria, yang hanya dua blok dari rumahnya. Ibunya telah berjanji bahawa dia boleh pergi situ bersama-sama datuknya pada lewat hari tersebut. Namun dia memandu traktor mainannya ke sana dan menghentikannya di sebelah tempat permainan kegemarannya. Apabila budak itu dibawa balik ke rumah dengan selamat, ayahnya dengan bijak mengeluarkan bateri kereta mainan tersebut.

Kenneth sebenarnya agak bijak kerana dia dapat pergi ke tempat yang dia mahu pergi, tetapi kanak-kanak berumur 2 tahun kekurangan satu kualiti utama: hikmat. Sebagai orang dewasa, kadangkala kita juga kekurangannya. Salomo, yang telah dilantik sebagai raja oleh ayahnya Raja Daud (1 Raja-Raja 2), mengakui dia adalah seperti seorang kanak-kanak. Tuhan menampakkan diri kepadanya dalam mimpi dan berkata, “Apakah yang engkau ingin Aku berikan kepadamu?” (3:5). Dia menjawab, “Aku masih sangat muda dan tidak tahu memerintah … Kurniailah aku kebijaksanaan yang aku perlukan untuk memerintah umat-Mu dengan adil, dan supaya aku tahu membezakan yang baik daripada yang jahat (ayat 7-9). Tuhan memberi Salomo “kebijaksanaan dan hikmat yang luar biasa serta pengetahuan yang amat dalam” (1 Raja-Raja 4:29).

Di manakah kita boleh mendapat hikmat yang kita perlukan? Salomo berkata permulaan hikmat adalah “ hormat dan takut kepada TUHAN” (Amsal 9:10). Jadi kita boleh mula dengan meminta Tuhan untuk mengajar kita tentang diri-Nya dan memberi kita hikmat yang luar biasa.