Suami saya, Alan, berdiri di bawah lampu tinggi yang menerangi padang sukan apabila seorang anggota pasukan lawan memukul bola ke udara. Oleh sebab matanya tertuju pada bola, Alan berlari laju ke sudut paling gelap di padang—dan melanggar pagar rantai besi.
Pada malam itu, saya memberinya satu beg ais. “Kamu okey?” tanya saya. Dia mengurut bahunya. “Aku akan berasa lebih okey jika rakan sepasukan aku memberitahu bahawa aku semakin menghampiri pagar,” katanya.
Pasukan akan mencapai prestasi yang baik apabila mereka bekerjasama. Kecederaan Alan mungkin boleh dielakkan, jika hanya salah satu rakan sepasukannya berteriak tentang bahaya di hadapannya.
Alkitab mengingatkan kita bahawa jemaah direka bentuk untuk bekerjasama dan saling menjaga seperti satu pasukan. Rasul Paulus memberitahu kita bahawa Tuhan mempedulikan bagaimana kita berinteraksi dengan satu sama lain, kerana tindakan satu orang dapat memberi kesan kepada seluruh jemaah (Kolose 3:13-14). Apabila kita semua menerima peluang untuk melayani satu sama lain sementara menumpukan perpaduan dan kedamaian, jemaah turut bertumbuh (ayat 15).
Paulus mengajar pembaca-pembacanya supaya “ajaran Kristus yang penuh berkat meresap di hati kamu. Hendaklah kamu saling mengajar dan menasihati dengan segala kebijaksanaan. Nyanyikanlah mazmur, nyanyian pujian, dan lagu rohani” (ayat 16). Dengan cara ini, kita dapat memberi inspirasi dan melindungi satu sama lain melalui hubungan yang penuh kasih dan jujur, mentaati dan memuji Tuhan dengan hati yang bersyukur—bertumbuh bersama.
ILHAM
Dalam kitab Kolose, Paulus melawan falsafah “yang tidak berguna dan menyesatkan” (2:8) dengan menerangkan kenyataan yang ajaib bahawa orang percaya mati dan dibangkitkan bersama dengan Kristus, menjadi anggota tubuh Kristus serta anggota keluarga baru yang dipersatukan dalam Dia (ayat 20; 3:1).Untuk menjelaskan bagaimana hidup menurut identiti baru dalam Yesus, Paulus menggunakan metafora tentang menanggalkan dan mengenakan pakaian. Mereka harus “[mem]buang” (3:8, “menanggalkan” secara harfiah) identiti dan kebiasaan lama, lalu “mengenakan” (manusia baru) melalui Roh Kudus dengan sifat-sifat yang indah melalui identiti baru mereka dalam Kristus (ayat 10,12).