Lagu pujian kedengaran di tingkat bawah … pada pukul 6:33 pagi, hari Sabtu. Saya fikir tiada orang yang terjaga, tetapi suara anak bongsu saya yang garau menunjukkan saya tersilap. Dia masih berbaring di katil, tetapi sudah ada lagu di bibirnya.
Anak bongsu saya suka menyanyi. Malah, dia tidak boleh berhenti menyanyi. Dia menyanyi ketika dia bangun. Apabila dia pergi ke sekolah. Apabila dia pergi tidur. Dia dilahirkan dengan lagu dalam hatinya—dan kebanyakan masa, lagu-lagunya adalah mengenai Yesus. Dia akan memuji Tuhan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
Saya suka kesederhanaan, pengabdian dan kesungguhan dalam suara anak perempuan saya. Lagu yang dinyanyikannya dengan spontan dan sukacita berdering undangan kepada kita untuk memuji Tuhan, seperti yang ditemukan dalam seluruh Alkitab. Dalam Mazmur 95, kita membaca, “Marilah kita memuji TUHAN, dan bernyanyi dengan gembira kepada Allah, pelindung dan penyelamat kita!” (ayat 1). Selanjutnya, kita mengetahui bahawa pujian ini mengalir daripada pemahaman tentang siapa Dia (“TUHAN itu Allah yang berkuasa, raja perkasa yang menguasai semua dewa,” ayat 3)—dan siapa yang memiliki kita (“Dialah Allah kita; kitalah umat yang diperlihara-Nya,” ayat 7).
Bagi anak perempuan saya, kebenaran firman Tuhan adalah perkara pertama yang terlintas dalam fikirannya pada waktu pagi. Dengan rahmat Tuhan, penyembah kecil ini memberi kita peringatan yang mendalam tentang kegembiraan ketika menyanyi kepada-Nya.
ILHAM
Mazmur 95 termasuk dalam kelompok mazmur yang disebut “mazmur penobatan” atau “mazmur raja” kerana gambaran seorang raja digunakan untuk merayakan dan mengisytiharkan kuasa Tuhan yang berdaulat atas semua ciptaan sepanjang seluruh sejarah. Contoh lain bagi mazmur penobatan adalah Mazmur 47, 93, 96–99. Mazmur-mazmur raja itu mengandungi pernyataan-pernyataan seperti “TUHAN Yang Maha Tinggi hendaklah ditakuti; Dia raja yang agung di seluruh dunia” (47:3). Takhta-Nya “kukuh sejak dahulu kala, ... sejak permulaan” (93:2); “TUHAN itu Allah yang berkuasa, raja perkasa yang menguasai semua dewa” (95:3).Mazmur 95 dapat diterangkan dalam 2 bahagian: panggilan untuk beribadat kepada Tuhan sebagai Raja (ayat 1-7a) dan amaran untuk tidak menolak-Nya sebagai Raja (ayat 7b-11). Melalui amaran ini, pemazmur menyebutkan sejarah pemberontakan Israel dan mereka kurang beriman dalam Tuhan di Meriba dan Masa (ayat 8; lihat Keluaran 17:1-7). Penulis Ibrani mengingati Mazmur 95 apabila dia menulis Ibrani 3:7-11.