Dalam masa 24 jam selepas kematian yang tragik menimpa ibunya, Sharonda, Chris mendapati dirinya mengucapkan kata-kata yang berkuasa dan penuh kasih: “Kasih mengatasi kebencian.” Ibunya dan 8 orang yang lain telah ditembak mati sewaktu kelas mengkaji Alkitab pada malam Rabu di Charleston, Carolina Selatan. Apakah yang telah membentuk kehidupan remaja ini sehingga kata-kata ini dapat keluar daripada bibir dan hatinya? Chris merupakan orang yang percaya kepada Yesus, dan ibunya pula “mengasihi semua orang dengan sepenuh hatinya.”
Dalam Lukas 23:26–49, kita seakan-akan duduk di kerusi barisan hadapan untuk menyaksikan hukuman mati ke atas Yesus yang tidak bersalah bersama-sama dua lagi penjahat (ayat 32). Ketiga-tiga mereka disalibkan (ayat 33). Di tengah-tengah keluhan orang yang tergantung pada kayu salib, kata-kata Yesus dapat didengari: “Ya Bapa, ampunilah mereka! Mereka tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh mereka” (ayat 34). Tindakan para pemimpin agama yang penuh kebencian telah mengakibatkan penyaliban Yesus yang penuh kasih. Walaupun dalam kesakitan, kasih Yesus tetap menang.
Pernahkah anda atau orang lain yang anda kasihi menjadi sasaran disebabkan kebencian, kejahatan, kepahitan atau keburukan orang lain? Semoga rasa sakit anda mendorong anda berdoa, dan semoga contoh Yesus dan orang seperti Chris mendorong anda memilih untuk mengasihi orang, dan bukan membenci melalui kuasa Roh Kudus.
ILHAM
Dalam Lukas 23:34, Yesus meminta Tuhan Bapa untuk mengampuni mereka yang mengolok-olok dan menyalibkan-Nya. Orang ramai dan para pemimpin mengejek Dia dengan berkata, “Dia telah menyelamatkan orang lain. Jika dia benar-benar Penyelamat yang dipilih oleh Allah, biarlah dia menyelamatkan dirinya sendiri!” (ayat 35). Mereka tidak memahami bahawa Yesus sedang menyelamatkan orang lain, termasuk diri mereka, dengan kerelaan-Nya memberikan nyawa-Nya. Setiap orang hanya perlulah menerima kurnia keselamatan ini.Mazmur 22 diulangi melalui kata-kata Lukas. Mazmur 22:9 (ATB), “Biarlah Dia yang melepaskannya! Bukankah Dia berkenan kepadanya?” terpantul dalam Lukas 23:35. Peristiwa Yesus diolok-olok sebenarnya sesuatu yang menggenapi Mazmur 22:7-19, yang menggambarkan “banyak musuh” mengepung-Nya, menusuk tangan dan kaki-Nya, serta membuang undi untuk jubah-Nya. Pengejek-pengejek itu mungkin tidak menyedari bahawa tindakan-tindakan mereka menggenapi nubuat Perjanjian Lama dan dengan demikian membuktikan bahawa Kristus adalah Mesias.