Di Belanda, sekumpulan pereka fesyen menjalankan bengkel “Jahitan Emas”. Diilhamkan oleh Kintsugi, satu teknik Jepun, iaitu porselin yang pecah boleh dibaiki dengan emas, para peserta bekerjasama untuk menjerumat pakaian dengan menunjukkan bahagian yang terkoyak dan bukannya cuba menutupnya. Orang telah dijemput untuk membawa “pakaian kesayangan tetapi terkoyak dan menjerumatnya dengan emas.” Sewaktu mereka menjahit pakaian mereka, pembaikan itu menjadi satu hiasan, “parut emas.”

Pakaian diubah dengan cara yang menyerlahkan bahagian yang terkoyak atau berbulu. Mungkin ini seperti apa yang dimaksudkan Paulus ketika dia mengatakan dia amat “berbangga” dalam perkara-perkara yang menunjukkan kelemahannya. Walaupun dia mengalami “penglihatan-penglihatan yang luar biasa itu”, dia tidak membanggakan tentangnya (2 Korintus 12:7). Menurutnya, Paulus diberikan sejenis penyakit yang bagaikan “duri” di dalam dagingnya supaya dia tidak menjadi sombong dan terlalu yakin pada diri sendiri (2 Korintus 12:7). Tiada sesiapa tahu apa yang dimaksudkannya—mungkin ini merujuk kepada kemurungan, penyakit malaria, penganiayaan daripada musuh, atau perkara lain. Bagaimanapun, dia memohon agar Tuhan mengambil duri itu daripadanya. Tetapi Tuhan menjawab, “Aku mengasihi kamu dan hal itu sudah cukup bagimu, kerana kuasa-Ku nyata sekali pada masa kamu lemah” (ayat 9).

Sebagaimana bahagian pakaian lama yang telah terkoyak boleh menjadi satu kecantikan selepas direka bentuk semula, kehancuran dan kelemahan hidup kita juga boleh menonjolkan kuasa dan kemuliaan Tuhan. Dia menyembuhkan kita, mengubah kita dan membuat kelemahan kita cantik.