Pada waktu Caleb masih kecil, apabila dia melelapkan mata setiap malam, dia berasa seakan-akan kegelapan menenggelaminya. Kesunyian di biliknya kerap terganggu oleh bunyi berderit dari rumah kayunya di Costa Rica. Kemudian kelawar di loteng menjadi lebih aktif. Ibunya perlu meletakkan lampu malam di biliknya, tetapi anak kecil itu masih takut kegelapan. Pada suatu malam, ayah Caleb menampalkan ayat Alkitab pada rangka katilnya. Ia tertulis: “Yakin dan berani! Jangan takut … kerana Aku, TUHAN, Allahmu, menyertai engkau” (Yosua 1:9). Caleb mula membaca ayat Alkitab itu setiap malam—dan ayat Alkitab itu tetap di rangka katilnya sehingga dia pergi ke universiti.
Dalam Yosua 1, kepimpinan dialihkan kepada Yosua selepas Musa meninggal dunia. Perintah “yakin dan berani” berulang beberapa kali diberikan kepada Yosua dan orang Israel untuk menekankan kepentingannya (ayat 6-7, 9). Tentunya, mereka berasa ragu-ragu untuk mengharungi masa depan yang tidak pasti, tetapi Tuhan mendorong mereka, “Aku akan menyertai engkau sebagaimana Aku telah menyertai Musa. Aku akan sentiasa menyertai engkau, dan tidak sekali-kali meninggalkan engkau” (ayat 5).
Inilah perkara biasa untuk berasa takut, tetapi ketakutan akan menjejaskan kesihatan kita secara fizikal dan rohani. Seperti Tuhan pernah mendorong hamba-hamba-Nya pada masa dahulu, kini kita juga boleh menjadi yakin dan berani kerana Dia telah berjanji untuk menyertai kita.