Mark dan Nina memutuskan untuk berpindah ke pusat bandar selepas mendoakan panggilan Tuhan tentang apa yang harus dilakukan mereka dalam fasa kehidupan seterusnya. Mereka membeli sebuah rumah kosong dan pengubahsuaian sedang berjalan dengan baik—tiba-tiba ribut melanda. Mark mengirimkan mesej kepada saya: “Kami mengalami satu kejutan pada pagi ini. Puting beliung yang melanda Bandaraya Jefferson telah merobohkan kerja ubahsuai rumah kami sehingga hanya tinggal kayu dan bata. Tuhan hendak melakukan sesuatu.”
Ribut yang tidak terkawal bukan satu-satunya perkara yang mengejutkan kita dan mewujudkan kekacauan dalam kehidupan kita. Bagaimanapun, fokus kepada Tuhan di tengah-tengah kesusahan merupakan salah satu kunci untuk bertahan.
Bencana cuaca dalam kehidupan Ayub telah menyebabkannya kehilangan harta dan anak-anaknya (Ayub 1:19). Semua ini hanyalah salah satu kejutan yang menggemparkan hidupnya. Sebelum tragedi itu, 3 orang utusan telah datang membawa khabar buruk (ayat 13-17).
Pada bila-bila masa, kenduri boleh berubah kepada perkabungan, kegembiraan hidup boleh berubah kepada kematian yang menyedihkan atau cabaran-cabaran hidup yang lain. Kehidupan kita dengan cepatnya mungkin hanya tinggal “kayu dan batu bata”—dari segi kewangan, hubungan, fizikal, emosi dan rohani. Tetapi Tuhan lebih perkasa daripada sebarang badai. Mengharungi cubaan dalam hidup memerlukan iman yang berfokus kepada Tuhan—yang membolehkan kita berkata dengan Ayub dan yang lain, “Terpujilah nama-Nya!” (ayat 21).
ILHAM
Bilakah kisah Ayub terjadi? Banyak faktor yang mengatakan ia terjadi pada era Abraham (kira-kira 2000 SM), sehingga kitab Ayub dianggap sebagai salah satu kitab yang tertua dalam Alkitab. Kita melihat adanya tatacara hidup keluarga patriarki, iaitu kekayaan diukur menurut jumlah ternakan dan hamba, bukan dengan emas dan perak (Ayub 1:3; 42:12; Kejadian 12:16). Kitab Ayub juga menyebutkan para pengembara Kasdim (Ayub 1:17), dan Ayub masih hidup selama 140 tahun setelah pemulihannya, sehingga dia dapat “melihat cucu-cicitnya” (42:16).Ayub dipuji sebagai seorang yang “menyembah Allah dan setia kepada-Nya. Dia seorang yang baik budi, yang selalu berhati-hati agar tidak melakukan perbuatan jahat” (1:1). Beribu-ribu tahun kemudian dia dipuji sebagai contoh hidup bagi sifat kebenaran (Yehezkiel 14:14,20) dan teladan “ketekunan” dengan iman yang tidak bergoyah dalam Tuhan (Yakobus 5:11).