Sebagai ketua kumpulan, saya membawa sekumpulan pelajar untuk menyertai kursus menghadapi halangan. Kami mengarahkan para pelajar mengenakan peralatan keselamatan dan mendaki dinding setinggi 2.4 meter. Pelajar yang memanjat lebih dahulu memberi galakan kepada pelajar lain yang di belakang supaya mempercayai abah-abah dan terus maju tanpa melihat ke bawah. Seorang pelajar melihat ke arah halangan ketika kami memasangkan tali pinggang keselamatan pada badannya. “Mustahil saya dapat melakukan perkara ini,” katanya. Setelah meyakinkan dia bahawa abah-abah cukup kuat, kami memberinya dorongan dan bersorak untuknya apabila dia berjaya memanjat dinding dan sampai ke platform tinggi.
Semasa kita menghadapi masalah yang kelihatan mustahil untuk diatasi, ketakutan dan perasaan tidak selamat boleh menimbulkan keraguan. Keyakinan akan kuasa, kebaikan dan kesetiaan Tuhan yang tidak pernah berubah bagaikan abah-abah kepercayaan yang kuat. Keyakinan ini mendorong orang salih dalam Perjanjian Lama percaya kepada Tuhan sepenuhnya sebelum mereka mengetahui setiap perincian dalam rancangan Tuhan (Ibrani 11:1–13, 39). Dengan keyakinan, kita mencari Tuhan dengan sungguh-sungguh dan apabila kita mempercayai-Nya, kita selalu dikuatkan. Kita dapat mengubah cara kita menghadapi cabaran dengan melihat keadaan melalui perspektif kekekalan, kerana kita tahu cubaan yang kita hadapi hanyalah sementara (ayat 13–16).
Memfokuskan jalan yang sukar dan pendakian yang curam dalam hidup boleh menghalang kita mempercayai bahawa Tuhan memimpin kita di sepanjang jalan. Tetapi jika kita mengetahui bahawa Dia selalu menyertai, kita boleh mengatasi ketidakpastian dengan iman apabila kita mempercayai Tuhan memberi kita kemenangan ke atas halangan yang kelihatan mustahil.