Beberapa tahun yang lalu, doktor memberikan nasihat tegas tentang kesihatan saya. Saya menerima nasihatnya dengan serius dan mula bersenam di gim serta menjaga pemakanan. Dengan usaha itu, keadaan kolesterol dan berat badan saya menurun, serta keyakinan diri saya meningkat. Tetapi selepas beberapa waktu, saya mula memerhatikan cara pemakanan orang lain dan menghakimi mereka. Ini agak kelakar apabila kita memiliki sistem pemarkahan yang memberi kita nilai yang baik, maka kita pun menggunakannya untuk mengangkat diri kita dan memandang rendah orang lain. Manusia cenderung bergantung pada piawaian buatan sendiri dalam usaha untuk membenarkan diri, iaitu sistem pembenaran diri dan pengurusan rasa bersalah.

Paulus memberi amaran kepada jemaah di Filipi tentang hal yang sama. Terdapat sebahagian orang meletakkan keyakinan dengan mengabdikan diri dari segi agama atau budaya. Paulus memberitahu mereka bahawa dia memiliki lebih banyak alasan untuk bermegah dalam hal-hal seperti itu, “Jika sesiapa menyangka dia boleh bergantung kepada upacara yang lahiriah, aku mempunyai alasan yang lebih banyak” (3:4). Tetapi Paulus mengetahui bahawa salasilah dan pencapaiannya adalah “sampah” jika dibandingkan dengan “mengenal Kristus Yesus” (ayat 8). Hanya Yesus yang mengasihi kita seadanya, menyelamatkan kita dan memberi kita kuasa untuk menyerupai Dia. Usaha sendiri atau markah tidak diperlukan.

Bermegah untuk diri sendiri adalah tidak baik, dan bermegah berdasarkan keyakinan yang salah adalah sesuatu yang menyedihkan. Injil menggesa kita menjauhi keyakinan yang salah dan kita seharusnya membina hubungan intim dengan Penyelamat yang telah mengasihi serta menyerahkan diri-Nya bagi kita.