Dia merupakan seorang pesara tentera tua yang berperilaku dan berbahasa kasar. Pada suatu hari, seorang rakan yang amat mengambil berat terhadapnya bertanya tentang kepercayaannya. Lelaki itu memberi respons dengan sikap acuh tak acuh: “Tuhan tidak menyediakan tempat untuk orang seperti saya.”

Mungkin dia cuba menunjukkan dirinya adalah seorang “lelaki yang kuat”, tetapi kata-katanya tidak benar sekali. Tuhan menyediakan tempat terutamanya untuk orang kasar, orang yang dipenuhi rasa bersalah dan mereka yang dihina dalam komuniti-Nya. Ini amat jelas kelihatan sejak permulaan pelayanan Yesus ketika Dia memilih para pengikut-Nya dengan cara yang di luar jangkaan kita. Pertama, Dia memilih beberapa orang nelayan dari Galilea, yang merupakan sesuatu yang tidak masuk akal menurut perspektif orang di Yerusalem. Dia juga memilih Matius, seorang pemungut cukai yang memeras orang sebangsanya. Selain itu, Yesus juga menjemput “Simon Si Patriot” sebagai pengikut-Nya (Markus 3:18).

Kita tidak berapa tahu tentang Simon yang disebut di sini (dia bukan Simon Petrus), tetapi kita tahu tentang Si Patriot itu. Mereka membenci pengkhianat bangsa Israel seperti Matius yang menjadi kaya dengan bekerjasama dengan orang Roma yang dibenci. Tetapi dengan ketentuan Tuhan yang kelihatan ironik, Yesus memilih Simon bersama dengan Matius untuk menjadi pengikut-Nya.

Tiada seorang pun dianggap terlalu “jahat” bagi Yesus. Dia berkata, “Aku datang bukan untuk memanggil orang yang menganggap diri mereka baik, tetapi orang yang berdosa supaya mereka bertaubat daripada dosa” (Lukas 5:32). Dia menyediakan banyak tempat untuk orang yang tidak layak seperti anda dan saya.