Di negara El Salvador, patung Yesus diletakkan di tengah-tengah ibu kota sebagai tanda penghormatan. Walaupun monumen itu terletak di tengah-tengah bulatan trafik yang sibuk, semua orang dapat melihatnya dengan mudah kerana ketinggiannya. Namanya ialah Monumen Juruselamat Ilahi Dunia, yang melambangkan status-Nya yang ajaib dan disanjungi.

Nama monumen itu mengukuhkan apa yang dikatakan Alkitab tentang Yesus (1 Yohanes 4:14). Dia menawarkan keselamatan bagi semua orang. Yesus melampaui batas budaya dan menerima sesiapa sahaja yang sungguh-sungguh ingin mengenal Dia tidak kira umur, tahap pendidikan, kumpulan etnik, dosa masa silam atau status sosial.

Rasul Paulus menjelajah dunia purba untuk memberitakan hidup, kematian dan kebangkitan Yesus kepada semua orang. Dia berkongsi khabar baik ini kepada para pemimpin politik, pemimpin agama, tentera, orang Yahudi, orang bukan Yahudi, lelaki, perempuan dan kanak-kanak. Paulus menjelaskan bahawa orang boleh mula membina hubungan dengan Kristus dengan mengisytiharkan “Yesus itu Tuhan” dan percaya bahawa Tuhan telah membangkitkan-Nya dari kematian (Roma 10:9). “Orang yang percaya kepada Dia tidak akan dikecewakan. … Setiap orang yang berseru kepada Tuhan akan diselamatkan” (ayat 11, 13).

Yesus bukanlah patung yang terletak jauh untuk dihormati. Kita mesti memiliki hubungan peribadi dengan Dia melalui iman. Semoga kita melihat nilai keselamatan yang ditawarkan-Nya dan menjalinkan hubungan rohani dengan Dia pada hari ini.