Pada abad ke-17, Martin Rinkart melayani sebagai pastor di Saxony, Germany selama lebih daripada 30 tahun semasa tercetusnya perang dan wabak. Dalam 1 tahun, dia mengendalikan lebih daripada 4,000 pengebumian termasuk isterinya. Pada ketika itu, makanan amat sukar diperoleh sehingga keluarganya kebuluran. Dia boleh sahaja berputus asa kerana hal itu tetapi imannya kepada Tuhan tetap kuat dan dia terus bersyukur. Malah dia mencurahkan rasa kesyukurannya melalui lagu pujian “Nun danket alle Gott,” iaitu lagu kegemaran ramai yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris, “Now Thank We All Our God” (Sekarang Bersyukur).

Rinkart mengikut contoh nabi Yesaya, yang mengarahkan umat Tuhan untuk bersyukur setiap masa, termasuk ketika mereka mengecewakan Tuhan (Yesaya 12:1) atau ketika musuh menindas mereka. Bahkan ketika itu mereka harus memuliakan nama Tuhan, “Khabarkanlah perbuatan-Nya kepada bangsa-bangsa” (ayat 4).

Kita mudah menaikkan kesyukuran ketika meraikan perayaan penuaian seperti Hari Kaamatan atau Hari Gawai bersama dengan rakan dan ahli keluarga. Tetapi adakah kita boleh mengekspresikan kesyukuran kita kepada Tuhan pada saat-saat sukar, misalnya ketika kita kehilangan seseorang, bergelut dengan masalah kewangan atau berkonflik dengan seseorang yang sangat rapat?

Marilah kita mengikut teladan Pastor Rinkart. Marilah kita mengangkat pujian dan kesyukuran kepada Tuhan yang kekal, yang ditinggikan oleh bumi dan syurga dengan satu hati dan satu suara. Kita boleh “bernyanyilah bagi TUHAN kerana perbuatan-Nya yang besar” (ayat 5).