Ketika saya masih kecil, bila-bila sahaja Mak Cik Betty yang sangat memanjakan kami datang melawat, rasanya seperti hari Krismas, dia akan membawa permainan Star Wars dan memberi saya wang saku sebelum dia pulang. Setiap kali saya tinggal bersamanya, dia akan memenuhkan peti sejuk dengan aiskrim dan tidak memasak sayur-sayuran. Dia menetapkan beberapa syarat dan membenarkan saya berjaga sehingga larut malam. Mak Cik Betty memang seorang yang sangat baik, malah mencerminkan kemurahan Tuhan. Bagaimanapun, untuk bertumbuh menjadi sihat, saya bukan sahaja memerlukan kasih Mak Cik Betty. Saya juga memerlukan pimpinan dan harapan ibu bapa saya ke atas kelakuan saya.
Tuntutan Tuhan terhadap saya adalah lebih tinggi jika berbanding dengan Mak Cik Betty. Ketika Dia melimpahi kita dengan kasih yang tidak berkesudahan dan tidak akan goyah meskipun kita menolak atau menjauhi-Nya, Dia tetap mengharapkan sesuatu daripada kita. Ketika Tuhan mengarahkan bangsa Israel tentang cara hidup mereka, Dia memberikan Sepuluh Hukum, bukannya sepuluh cadangan (Keluaran 20:1–17). Dengan menyedari sifat kita yang mudah menipu diri sendiri, Tuhan ada jangkaan yang jelas ke atas kita: kita harus “mengasihi Allah dan kita mentaati perintah-Nya.” (1 Yohanes 5:2).
Syukurlah kerana, “Perintah-Nya pun tidak terlalu susah bagi kita” (ayat 3). Dengan kuasa Roh Kudus, kita dapat mentaatinya ketika kita mengalami kasih dan sukacita Tuhan. Kasih-Nya bagi kita tidak berkesudahan. Tetapi Alkitab menanyakan satu soalan untuk membantu kita mengetahui jika kita juga mengasihi Tuhan: Adakah kita sedang mentaati perintah-perintah-Nya menurut pimpinan Roh?
Kita boleh mengatakan bahawa kita mengasihi Tuhan, tetapi apa yang kita lakukan dalam kekuatan-Nya menyatakan perkara sebenar.
ILHAM
Dalam 1 Yohanes 5, Yohanes menyebut dua topik kegemarannya dan hubungan antara kedua-duanya: kasih sayang dan perintah Tuhan. Ayat 2 boleh dianggap sebagai ringkasan bagi teologi Yohanes. Kasih sayang dan ketaatan saling berhubung-kait dan boleh dijadikan sebagai bukti atau kesaksian.Seperti Yesus yang mengenal pasti bahawa ada 2 perintah yang terpenting (lihat Matius 22:34-40; Markus 12:28-33), Yohanes menghubungkan kasih Tuhan dengan kasih orang lain. Dia berkata bahawa sesiapa yang mengasihi Bapa “mengasihi anak bapa itu juga” (1 Yohanes 5:1). Ketaatan terhadap perintah-Nya bukan sahaja satu pertunjukan kasih kepada Tuhan, tetapi juga menunjukkan kasih kepada anak-anak Tuhan (ayat 2-3).
Dalam Injil Yohanes, Yesus memberitahu pengikut-pengikut-Nya bahawa jika mereka mengasihi Dia, mereka akan mentaati perintah-Nya (14:15, 21; 15:10)—salah satunya adalah saling mengasihi.