Seorang ibu berasa bahawa dia telah berbelanja berlebihan kerana membeli hadiah Krismas untuk keluarga. Jadi pada suatu tahun dia memutuskan untuk mencuba sesuatu yang berbeza. Beberapa bulan sebelum hari Krismas, dia mencari barangan yang tidak mahal dan terpakai. Dia telah membeli lebih banyak daripada biasa tetapi dengan harga yang jauh lebih murah. Sehari sebelum Krismas, anak-anaknya membuka hadiah demi hadiah dengan teruja. Pada hari berikutnya, ada lebih banyak lagi hadiah! Ibu itu masih berasa bersalah kerana anak-anaknya tidak mendapatkan hadiah baru, maka dia menyediakan banyak hadiah lagi untuk pagi Krismas tersebut. Anak-anaknya mula membuka hadiah-hadiah tersebut sambil berkata, “Penatnya untuk membuka semua hadiah ini! Ibu telah memberi kami sangat banyak!” Itu bukanlah respons biasa daripada anak-anak pada pagi hari Krismas!

Tuhan telah begitu banyak memberkati kita, tetapi nampaknya kita sering mencari lebih lagi: rumah yang lebih besar, kereta yang lebih baik, wang simpanan yang lebih banyak, atau [isikan tempat kosong]. Paulus mendorong Timotius supaya mengingatkan jemaahnya bahawa “Adakah kita membawa sesuatu ke dalam dunia ini? Tidak! Dapatkah kita membawa sesuatu ke luar dunia ini? Tidak! Oleh itu, cukuplah jika kita mempunyai pakaian dan makanan” (1 Timotius 6:7–8).

Tuhan telah memberi kita nafas dan hidup—selain menyediakan semua keperluan kita. Betapa melegakan apabila kita dapat menikmati dan berpuas hati dengan pemberian-Nya dan berkata, Engkau telah memberikan kepada kami dengan melimpah! Kami tidak berkekurangan. “Kesalihan yang disertai dengan rasa puas membawa keuntungan besar” (ayat 6, AVB).