Heidi dan Jeff pulang ke rumah selepas menamatkan kerja di luar negara yang beriklim panas dan tinggal dekat dengan keluarga di negeri Michigan selama beberapa bulan—tepat pada musim sejuk. Antara 10 anak mereka, ramai yang melihat keindahan semula jadi salji buat kali pertama.

Namun, dengan cuaca musim sejuk di Michigan, seseorang memerlukan banyak pakaian tebal, termasuklah kot, sarung tangan tebal, dan but. Bagi sebuah keluarga yang besar, kos pakaian mereka adalah sangat tinggi untuk menghadapi cuaca yang amat sejuk selama beberapa bulan. Tetapi Tuhan telah menyediakan semuanya. Pertamanya, seorang jiran memberikan kasut-kasut, disusuli dengan seluar musim sejuk, dan kemudiannya topi dan sarung tangan. Kemudian, seorang rakan mendorong jemaah lain di gerejanya untuk mengumpulkan pelbagai pakaian musim sejuk yang pelbagai saiz untuk setiap ahli keluarga yang berjumlah 12 orang tersebut. Apabila salji turun, keluarga tersebut telah memiliki apa yang benar-benar diperlukan.

Salah satu cara kita melayani Tuhan adalah dengan melayani orang lain yang memerlukan bantuan. 1 Yohanes 3:16–18 mendorong kita menolong orang lain dengan sumber-sumber yang kita miliki. Melayani orang membantu kita semakin menyerupai Yesus ketika kita mula mengasihi dan melihat orang lain seperti Dia.

Tuhan selalu memakai anak-anak-Nya untuk memenuhi keperluan dan menjawab doa. Pada masa kita melayani orang lain, hati kita sendiri akan terdorong ketika kita memberikan dorongan kepada orang yang kita layani. Hasilnya, iman kita sendiri akan diteguhkan ketika Tuhan melengkapi kita untuk pelayanan dengan cara yang baru (ayat 18).