Lagu artis Chris Stapleton yang berdasarkan pengalaman sendiri, “Daddy Doesn’t Pray Anymore,” diilhamkan oleh doa-doa ayahnya untuknya. Lirik yang pedih itu mengungkapkan sebab bapanya tidak lagi berdoa: bukan disebabkan kehampaan atau kelelahan, melainkan kematiannya. Stapleton membayangkan bahawa sekarang, ayahnya tidak lagi bercakap dengan Yesus melalui doa, tetapi bercakap bersemuka dengan Yesus.

Ingatan Stapleton akan doa-doa bapanya mengingatkan kita tentang doa seorang ayah bagi anaknya dalam Alkitab. Ketika Raja Daud semakin tua dan menghampiri kematian, dia melakukan persiapan bagi anaknya, Salomo untuk mengambil alih takhta sebagai raja Israel yang seterusnya.

Selepas seluruh bangsa itu berkumpul untuk mengurapi Salomo, Daud memimpin umat itu dalam doa, seperti yang selalu dilakukannya sebelum itu. Apabila Daud mengingat kembali kesetiaan Tuhan kepada umat Israel, dia berdoa bagi umat itu supaya tetap setia kepada Tuhan. Kemudian dia menyelitkan doa peribadi yang khusus bagi anaknya, meminta Tuhan memberi anaknya “Salomo, keinginan yang sungguh-sungguh untuk mentaati semua perintah-Mu” (1 Tawarikh 29:19).

Kita juga memiliki keistimewaan yang luar biasa untuk berdoa dengan setia bagi orang yang ditempatkan Tuhan dalam hidup kita. Teladan kita yang setia boleh memberikan dampak kekal yang berterusan, bahkan sehingga setelah kita meninggal dunia. Sebagaimana Tuhan tetap bekerja untuk menjawab doa Daud bagi Salomo dan umat Israel selepas pemergiannya, demikian jugalah dampak doa kita akan terus kekal.