“Tiada telinga yang mendengarkan kedatangan-Nya, tetapi di dunia yang berdosa ini, jika orang yang rendah hati menerima-Nya, Yesus tetap masuk ke dalam hatinya.” Ungkapan ini daripada kidung Phillips Brooks yang amat disukai ramai “O Little Town of Betlehem” (Betlehem Kota Kecil) menjurus kepada teras Krismas. Yesus datang ke dunia kita yang rosak untuk menyelamatkan kita daripada dosa dan memberi kita hubungan dengan Tuhan yang baru dan penting, bagi sesiapa sahaja yang ingin meletakkan iman pada-Nya.

Dalam sepucuk surat kepada seorang rakannya, berdekad-dekad selepas dia menulis kidung itu, Brooks dengan penuh perasaan menerangkan kesan hubungan ini dalam hidupnya: “Aku tidak dapat menjelaskan kepada anda betapa intimnya hubungan ini bagiku. Tuhan ada di sini. Dia mengenalku dan aku mengenal-Nya. Ini bukanlah kata berbunga-bunga. Hubungan ini adalah paling nyata di dunia, dan semakin nyata setiap hari. Anda akan terkagum dengan sukacita daripada hubungan ini pada tahun-tahun yang seterusnya.”

Keyakinan Brooks akan hadirat Tuhan dalam hidupnya mencerminkan salah satu nama Yesus yang dinubuat oleh Yesaya: “seorang gadis yang mengandung akan melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakannya ‘Imanuel” (Yesaya 7:14). Kitab Matius memberi kita erti nama Ibrani bagi Imanuel: “Allah menyertai kita” (1:23).

Tuhan mendekati kita melalui Yesus supaya kita dapat mengenal-Nya sendiri dan boleh kekal bersama dengan-Nya. Hadirat-Nya yang penuh kasih merupakan hadiah yang terbesar.