Selama bertahun-tahun, Deepika memikul beban berat akan rasa bersalah disebabkan oleh caranya memperlakukan adik perempuannya sewaktu mereka masih kecil. Walaupun dia sudah meminta maaf dan menerima pengampunan adiknya, dia masih berasa bersalah.
Yesaya 6:1-5 merekodkan bagaimana Yesaya mendapat penglihatan akan Tuhan dan berjaya mengalahkan rasa bersalahnya ke atas dosanya. Tetapi ketika bara dari mazbah menyentuh bibirnya, dia pun mendengar kata-kata yang menghiburkan: “Kesalahanmu sudah dihapuskan” (ayat 7). Bara di Rumah TUHAN biasanya ditutupi oleh darah domba yang baru sahaja disembelih, ini menggambarkan pengorbanan Yesus. Ketika Domba Tuhan mati pada kayu salib, dosa dan kesalahan kita dipindahkan kepada-Nya (1 Petrus 2:24).
Kita bersalah apabila kita melakukan jenayah atau berdosa, maka kita patut dikenakan hukuman. Ini disusuli oleh perasaan bersalah. Orang Kristian yang salih sekalipun bergelut dengan perasaan ini apabila mereka melakukan sesuatu yang salah.
Perasaan bersalah adalah sesuatu yang sihat apabila ia menyedarkan dan memimpin kita kepada pertaubatan. Tetapi jika kita tetap berasa bersalah setelah diampuni, ini akan merampas kebebasan kita. Keindahan dalam kebenaran Injil ialah Kristus menghapuskan kesalahan kita, supaya kita boleh bebas sepenuhnya daripada beban rasa bersalah. Marilah bersukacita kerana Yesus, kita tidak lagi perlu berasa bersalah atau malu. Kita telah diampuni!
ILHAM
Uzia, yang juga dikenali sebagai Azarya adalah seorang raja yang baik (2 Raja-Raja 14:21, 15:1-3, 2 Tawarikh 26:1-4). Semasa dalam 52 tahun pemerintahannya, Yehuda menjadi kuat dan makmur. Ketika Uzia mangkat, orang Yahudi merasakan kehilangan yang amat besar. Dengan ancaman ketenteraan dari Mesir, Siria, dan Asyur, Yehuda menghadapi sebuah masa depan yang tidak menentu.Pada masa seperti itulah Yesaya “nampak Tuhan. Dia bersemayam di atas takhta-Nya yang tinggi dan mulia” (Yesaya 6:1). Raja Israel di bumi mungkin telah mati, tetapi raja Yehuda yang sebenar benar-benar hidup, dan sedang menguasai dunia ini. Beberapa ribu tahun selepas itu, rasul Yohanes juga diberikan penglihatan yang besar daripada Tuhan—“sebuah takhta di syurga dan seseorang duduk di atas takhta itu” (Wahyu 4:2). Bagi dunia yang bakal mengalami bahaya yang tidak terkawal dan tidak menentu, Yohanes meyakinkan kita bahawa Tuhan duduk di atas takhta, dan ramai orang akan berseru, “Kita telah diselamatkan oleh Allah kita, yang duduk di atas takhta, dan oleh Anak Domba itu” (Wahyu 7:10).