Pada suatu pagi saya pergi ke sebuah kolam yang berhampiran. Saya duduk di atas sebuah bot yang sudah diterbalikkan, sambil berfikir dan memerhatikan desiran lembut angin barat yang menyapu lapisan kabus di atas permukaan air secara perlahan-lahan. Kepulan kabus melingkar dan berputar. “Puting beliung” kecil terbentuk dan kemudiannya menghilang. Tidak lama kemudian cahaya matahari menembusi awan dan kabus itu pun hilang.
Pemandangan ini menenangkan saya kerana saya mengaitkannya dengan ayat firman Tuhan yang baru saya baca: “Aku telah menghapus segala dosa kamu seperti awan dibawa angin. Kembalilah kepada-Ku, kerana Akulah yang menyelamatkan kamu” (Yesaya 44:22). Saya melawat tempat itu dengan harapan untuk mengalihkan perhatian saya daripada rentetan pemikiran berdosa yang memenuhi saya selama beberapa hari. Walaupun saya sudah bertaubat, saya mula tertanya-tanya sama ada Tuhan akan mengampuni saya kalau-kalau saya mengulangi dosa yang sama.
Pada pagi itu, saya menyedari bahawa jawapannya adalah, “Ya”. Melalui nabi-Nya, Yesaya, Tuhan menunjukkan rahmat kepada bangsa Israel apabila mereka bergelut dengan masalah yang berlarutan iaitu penyembahan berhala. Walaupun Dia sudah menyatakan kepada mereka supaya berhenti mengejar tuhan yang palsu, Tuhan juga mempelawa mereka kembali kepada-Nya. Kata-Nya, “Ingatlah bahawa kamu hamba-Ku. Aku menciptakan kamu untuk menjadi hamba-Ku; Aku tidak akan melupakan kamu” (ayat 21).
Saya tidak dapat benar-benar memahami pengampunan seperti itu, tetapi saya faham bahawa rahmat Tuhan adalah satu-satunya perkara yang dapat menghapus dosa kita sepenuhnya dan menyembuhkan kita daripadanya. Saya bersyukur kerana rahmat-Nya tidak berkesudahan seperti ketuhanan-Nya dan tersedia setiap kali kita memerlukannya.