Hidup Dennis berubah setelah seseorang memberinya sebuah kitab Perjanjian Baru. Melalui pembacaannya itu, dia telah pun tertawan, dan ia selalu menjadi pedomannya. Dalam masa 6 bulan, dua peristiwa telah mengubahkan hidupnya. Dia meletakkan imannya kepada Yesus bagi pengampunan dosanya, dan telah didiagnosis menghidapi penyakit tumor otak selepas mengalami sakit kepala yang teruk. Disebabkan oleh kesakitan yang keterlaluan itu, dia hanya terlantar di katil dan tidak dapat bekerja. Pada suatu malam ketika dia berasa amat sakit dan tidak dapat tidur, dia pun berseru kepada Tuhan. Akhirnya dia tertidur pada pukul 4:30 a.m.

Kesakitan secara jasmani boleh menyebabkan kita berseru kepada Tuhan, tetapi situasi hidup lain yang membebankan juga menyebabkan kita berlari kepada-Nya. Berabad-abad sebelum pergelutan Dennis pada malam itu, Yakub yang terdesak juga berhadapan dengan Tuhan (Kejadian 32:24–32). Yakub menghadapi masalah keluarga yang belum selesai. Dia telah menipu abangnya Esau (Fasal 27), dan dia takut menerima balasannya tidak lama lagi. Dalam pencariannya akan pertolongan Tuhan dalam situasi yang sukar itu, Yakub bertemu muka dengan Tuhan (32:30) dan berubah menjadi orang yang baru.

Begitu halnya dengan Dennis. Selepas membuat seruan doa kepada Tuhan, Dennis mampu bangkit semula setelah lama terlantar di katil, dan pemeriksaan doktor menunjukkan tiada lagi tanda-tanda tumor. Meskipun Tuhan tidak semestinya memilih untuk menyembuhkan kita secara ajaib, kita yakin bahawa Dia selalu mendengar doa kita dan akan memberikan apa yang kita perlukan bagi menghadapi situasi. Dalam keterdesakan, kita berdoa dengan tulus dan berserah segala hasilnya kepada Tuhan!