Tom mengalami strok selepas menjalani satu pembedahan dan ini melumpuhkan kemampuannya untuk bercakap. Sejak itu, dia harus melalui proses pemulihan yang panjang. Beberapa minggu kemudian, kami berasa terkejut ketika dia menghadiri kebaktian Hari Kesyukuran. Kami berasa lagi terkejut apabila dia berdiri dan mula bercakap. Sementara mencari-cari apa yang hendak dikatakan, dia mencampuradukkan kata-katanya, mengulang-ulangnya, dan terkeliru tentang hari dan masa. Tetapi satu perkara yang jelas: dia memuji Tuhan! Kita boleh mengalami kepatahan hati dan diberkati pada masa yang sama. Inilah saatnya.

Dalam “kisah pra-Krismas” kami bertemu dengan seorang lelaki yang kehilangan keupayaan untuk bercakap. Malaikat Gabriel muncul kepada Zakharia yang merupakan seorang imam dan memberitahukannya bahawa dia akan menjadi seorang bapa kepada seorang nabi yang besar (lihat Lukas 1:11–17). Zakharia dan isterinya sudah lanjut usia, maka dia pun meraguinya. Pada saat itulah Gabriel memberitahu bahawa dia tidak akan dapat bercakap “sehingga apa yang aku katakan berlaku” (ayat 20).

Hari itu pun terjadi. Dalam upacara untuk menamakan bayi ajaib itu, Zakharia pun dapat bercakap semula. Perkataannya yang pertama ialah memuji Tuhan (ayat 64). Kemudian dia berkata, “Marilah kita memuji Tuhan, Allah bangsa Israel! Dia sudah datang untuk menyelamatkan umat-Nya dan membebaskan mereka” (ayat 68).

Seperti Zakharia, sejurus selepas dia dapat bercakap, respons Tom adalah memuji Tuhan. Hati kedua-dua peribadi itu tertarik kepada Dia yang menciptakan lidah dan fikiran mereka. Tidak kira apa pun yang kita hadapi ketika ini, kita boleh memberi respons yang sama.