Pastor Tim Keller berkata, “Tiada seorang pun tahu siapa diri mereka kecuali diberitahu atau ditunjukkan oleh perbuatan orang lain.” Dengan kata lain, “tindakan berbicara lebih lantang daripada kata-kata.” Suami atau isteri saling menunjukkan bahawa mereka dihargai dengan mendengarkan dan menyayangi mereka. Ibu bapa menunjukkan anak-anak bahawa mereka dihargai dengan menjaga mereka dengan penuh kasih. Jurulatih menunjukkan kepada atlet bahawa mereka memiliki potensi dengan melabur dalam perkembangan mereka. Pada masa yang sama, perbuatan yang berbeza juga menunjukkan hal yang menyakitkan dan menyampaikan suatu mesej yang tidak baik kepada orang lain.
Antara kesemua mesej yang berasaskan perbuatan di alam semesta ini, terdapat satu perbuatan yang paling penting. Jika kita ingin mengetahui siapa kita di mata Tuhan, kita hanya perlu melihat perbuatan-Nya pada kayu salib. Dalam Roma 5:8, Paulus menuliskan, “Allah telah menunjukkan betapa besarnya kasih-Nya kepada kita, kerana Kristus mati bagi kita semasa kita masih berdosa.” Kayu salib menunjukkan siapa kita: orang yang sangat dikasihi Tuhan sehingga Dia menyerahkan Anak-Nya yang tunggal bagi kita (Yohanes 3:16).
Mesej hati Tuhan bergema dengan jelas, ini amat berbeza dengan mesej yang bercampur aduk serta perbuatan yang mengelirukan akibat orang yang hancur hati dalam budaya yang hancur. Siapakah anda? Anda adalah orang yang sangat dikasihi oleh Tuhan sehingga Dia memberikan Anak-Nya bagi keselamatan anda. Fikirkanlah harga yang telah dibayar-Nya bagi anda dan realiti yang indah, iaitu anda sentiasa layak diselamatkan-Nya.