Selepas makan malam Krismas, menantu perempuan saya, Ana menghidangkan tang yuan. Sup sirap panas dengan bebola tepung pulut yang berwarna-warni ini ialah pencuci mulut tradisional yang dimakan oleh orang Cina pada perayaan pertengahan musim sejuk, yang juga jatuh pada musim Krismas. Pete, anaknya yang berumur 3 tahun, akan berteriak dengan bangga. “Aku yang buat ni dan ni!” Saya tertawa—walaupun bebola tepung pulut yang dibuat oleh Pete mempunyai saiz-saiz yang aneh, dia menganggap semua ialah karya agungnya.
Kejadian ini membuat saya merenungkan bagaimana Tuhan melihat kita. Apabila Dia mencipta manusia pada peringkat terakhir, Dia “memandang semua yang sudah dijadikan-Nya dan Dia sangat berpuas hati” (Kejadian 1:31). Walaupun manusia jatuh dalam dosa pada masa kemudian, pemazmur mengetahui bahawa kita diciptakan “dengan baik dan luar biasa” (Mazmur 139:14); kita tetap menjadi karya agung Tuhan, walaupun kita terbenam dalam dosa. Namun Tuhan tidak membiarkan kita terus berdosa. Dia menebus kita melalui Kristus agar kita mengamalkan perbuatan baik bagi kemuliaan-Nya (Efesus 2:10).
Kadangkala saya terlupa bahawa saya bukan sahaja diciptakan dengan indah, tetapi saya juga diciptakan semula dalam Kristus dengan penuh kasih. Oleh sebab saya melupakan kebenaran ini, saya bergelut dengan harga diri yang rendah dan sering mengasihani diri. Adakah anda juga menghadapi pergelutan yang sama? Ketika melihat cucu lelaki saya gembira akan bebola tepung pulutnya yang berbentuk aneh, saya diingatkan bahawa hidup kita sepatutnya dibentuk menurut pandangan Tuhan—kita adalah karya agung-Nya yang dikasihi, ditebus oleh Kristus. Jadi, marilah kita hidup dengan gembira sebagai karya Tuhan yang unik.