Ketika melihat perhiasan Krismas buatan tangan anak saya, Xavier, yang dibuatnya selama bertahun-tahun bersama barangan perhiasan daripada neneknya yang tidak berpadanan, saya tidak tahu mengapa saya tidak suka perhiasan itu. Saya selalu menghargai kreativiti dan memori yang dibawakan oleh setiap perhiasan. Jadi, mengapa tarikan perhiasan di pusat membeli-belah menarik saya menginginkan sebatang pokok Krismas yang dihiasi lengkap dengan mentol lampu yang sepadan, bebola Krismas yang berkilauan serta reben?

Ketika saya berpaling daripada perhiasan kami yang sederhana itu, saya terlihat satu barang perhiasan merah yang berbentuk hati dengan frasa yang terukir di atasnya—Yesus, Penyelamatku. Bagaimanakah saya boleh lupa bahawa keluarga saya dan harapan dalam Kristus adalah sebabnya saya suka menyambut perayaan Krismas? Pokok Krismas kami yang sederhana seakan-akan tidak dapat membandingi pokok-pokok Krismas di hadapan kedai-kedai, tetapi kasih di sebalik setiap perhiasan di rumah kami membuatnya kelihatan indah.

Seperti pokok Krismas kami yang amat sederhana, Mesias sama sekali tidak memenuhi harapan dunia ini (Yesaya 53:2). Yesus dihina dan ditolak (ayat 3). Namun, melalui kasih-Nya yang luar biasa, Dia masih memilih untuk “dilukai kerana dosa kita” (ayat 5). Kita mendapat kesejahteraan kerana hukuman yang ditanggungnya (ayat 5). Tiada yang lebih indah daripada itu.

Dengan kesyukuran yang diperbaharui kerana perhiasan kami yang tidak sempurna dan Penyelamat kita yang sempurna, saya berhenti menginginkan kilauan, tetapi sebaliknya memuji Tuhan kerana kasih-Nya yang hebat. Perhiasan yang berkilauan tidak dapat membandingi anugerah pengorbanan-Nya yang indah—Yesus.