Pada hari sebelum Krismas yang sejuk di Belgium pada tahun 1914, bunyi lagu berkumandang dari kubu parit angkatan tentera yang sedang berlindung. Alunan muzik lagu Krismas “Malam Kudus” kedengaran dalam bahasa Jerman dan kemudiannya dalam bahasa Inggeris. Tidak lama sebelumnya, tentera-tentera yang berbalas tembakan itu pula menghentikan pertarungan dan keluar dari kubu mereka untuk bersalaman di “kawasan bebas antara sempadan”, berkiriman salam Krismas dan bertukaran catuan makanan mereka sebagai hadiah. Gencatan senjata itu berterusan sehingga hari seterusnya yang para tentera itu berbual-bual dan ketawa bersama-sama, malah menganjurkan perlawanan bola sepak.
Gencatan Senjata Krismas 1914 yang berlaku ketika Perang Dunia Pertama di Barisan Barat memberikan sekilas pandangan akan kedamaian yang dilaungkan oleh para malaikat semasa Krismas yang pertama pada suatu ketika dahulu. Malaikat berkata kepada para gembala yang ketakutan: “Janganlah takut! Aku datang membawa Berita Baik untuk kamu, berita yang akan menggembirakan semua orang. Pada hari ini di kota Daud telah lahir Penyelamat kamu, Kristus, Tuhan” (Lukas 2:10–11). Kemudian sepasukan besar malaikat syurga pun muncul dan memuji-muji Tuhan, “Termulialah Allah di langit yang tertinggi! Dan di atas bumi, sejahteralah manusia yang menyenangkan hati-Nya!” (ayat 13–14).
Yesus ialah “Raja Damai” yang menyelamatkan kita daripada dosa kita (Yesaya 9:5). Melalui pengorbanan-Nya pada kayu salib, Dia memberikan pengampunan dan perdamaian dengan Tuhan kepada semua orang yang percaya kepada-Nya.