Pada setiap Krismas, kami mengambil unsur-unsur kebudayaan dari seluruh dunia untuk menghiaskan rumah dengan hiasan tentang kelahiran Yesus. Kami memiliki piramid kelahiran Yesus dari Jerman, sebuah hiasan palungan yang diperbuat daripada kayu zaitun dari Betlehem, dan versi orang Mexico yang penuh dengan warna terang. Hiasan kegemaran keluarga kami adalah sesuatu yang menarik dari Afrika. Domba dan unta tidak digunakan seperti biasa, melainkan seekor badak air yang seakan merenungkan bayi Yesus.

Perspektif kebudayaan unik yang menjadi hidup dalam babak-babak kelahiran ini menghangatkan hati saya ketika saya merenungkannya. Kesemua babak ini menjadi peringatan yang indah bahawa kelahiran Yesus bukan hanya untuk satu-satu bangsa atau kebudayaan. Ia merupakan berita baik bagi seluruh bumi, dan sebab bagi setiap bangsa dan etnik untuk bersukacita.

Anak kecil yang digambarkan dalam setiap babak kelahiran memperlihatkan isi hati Tuhan bagi seluruh dunia. Seperti yang dituliskan Yohanes mengenai perbualan antara Kristus dengan seorang Farisi yang bersifat ingin tahu, iaitu Nikodemus, “Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal” (Yohanes 3:16).

Anugerah Yesus ialah berita baik bagi semua orang. Tidak kira di mana jua kediaman anda, kelahiran Yesus merupakan pemberian kasih dan kedamaian Tuhan bagi anda. Pada suatu hari kelak, semua orang yang menemukan hidup baru dalam Kristus, “semua suku, bahasa, negara, dan bangsa” akan merayakan kemuliaan Tuhan selama-lamanya (Wahyu 5:9).