Ketika berada dalam penerbangan ke Washington, D.C. pada larut malam, seorang penulis ruang, iaitu Arthur Brooks terdengar seorang wanita tua berbisik kepada suaminya, “Ini tidak benar jika kamu ingat tiada orang perlukan kamu lagi.” Lelaki itu berbisik-bisik bahawa dia tidak ingin hidup lagi, tetapi isterinya berkata, “Oh, janganlah kata begitu!” Apabila pesawat itu mendarat, Brooks menoleh ke belakang dan terus mengenal siapa lelaki itu. Rupanya dia seorang wira dunia yang popular. Penumpang lain bersalaman dengannya, dan juruterbang pesawat itu berterima kasih kepadanya atas keberanian yang ditunjukkannya beberapa dekad yang lalu. Bagaimanakah mungkin orang yang hebat seperti dia mengalami keputusasaan?
Nabi Elia seorang diri berjaya mengalahkan 450 nabi Baal dengan berani—atau begitulah difikirnya (1 Raja-Raja 18). Tetapi dia tidak melakukannya berseorangan; Tuhan selalu menyertainya! Tetapi kemudian, dia berasa sangat keseorangan, lalu meminta Tuhan mencabut nyawanya.
Tuhan menguatkan semangat Elia dengan membawanya ke dalam hadirat-Nya dan memberikannya umat yang baru untuk dilayani. Dia harus pergi dan “lumurilah kepala Hazael dengan minyak sebagai tanda bahawa dia dipilih menjadi raja negeri Siria,” Yehu sebagai “raja Israel,” dan Elisa “supaya dia menjadi nabi menggantikan engkau” (19:15–16). Setelah menjadi lebih bersemangat kerana tujuan yang diperbaharui, Elia menemui dan membimbing penggantinya.
Kemenangan terhebat anda mungkin telah berlalu. Anda mungkin merasakan hidup anda telah memuncak, atau ia tidak pernah berlaku. Tidak apa. Lihatlah sekeliling. Mungkin anda merasakan diri tidak lagi begitu penting, tetapi masih ada yang memerlukan anda. Layanilah mereka dengan baik demi Yesus, dan ia akan dihargai. Mereka ialah tujuan anda—sebab anda masih hidup.