Pada suatu malam, ketika bekalan elektrik tiba-tiba terputus, saya berada di rumah bersama-sama dengan 2 orang anak kami yang kecil, dan itulah kali pertama mereka mengalami bekalan elektrik terputus. Selepas mengesahkan bahawa syarikat bekalan tenaga elektrik mengetahui hal itu, saya mencari beberapa batang lilin, dan kami bertiga mengelilingi nyala lilin yang berkedip-kedip itu di dapur. Anak-anak saya itu kelihatan cemas dan tidak tenang, maka kami pun menyanyi. Tidak lama kemudian wajah mereka yang resah digantikan dengan senyuman. Kadangkala kita memerlukan lagu pada waktu yang paling gelap.

Mazmur 103 mungkin adalah salah satu mazmur yang didoakan atau dinyanyikan setelah umat Tuhan kembali daripada pembuangan ke tanah air yang terbiar. Pada waktu krisis, mereka perlu menyanyi. Tetapi bukan sebarang lagu, mereka perlu menyanyi tentang siapa Tuhan dan apa yang sudah dilakukan-Nya. Mazmur 103 juga membantu kita mengingati bahawa Dia “pengasih dan penyayang, panjang sabar, dan penuh dengan kasih” (ayat 8). Andai kata kita masih tertanya-tanya adakah penghakiman dosa kita masih membebani kita, mazmur ini menyatakan bahawa Tuhan tidak marah, Dia telah mengampuni, dan Dia berbelas kasihan. Inilah perkara yang baik untuk dinyanyikan pada masa kegelapan hidup kita.

Mungkin anda berada dalam keadaan yang gelap dan sukar, tertanya-tanya sama ada Tuhan benar-benar baik atau mempersoalkan kasih-Nya kepadamu. Jika benar, berdoalah dan bernyanyilah kepada Dia yang penuh kasih.