Pada usia 17 tahun, Dowayne terpaksa meninggalkan rumah keluarganya di Manenberg, sebahagian Cape Town, Afrika Selatan, disebabkan oleh perlakuan mencuri dan ketagihan heroin. Dia tidak pergi jauh, malah membina sebuah rumah besi kecil di belakang halaman rumah ibunya, yang kemudian dikenal sebagai Kasino, sebuah tempat penagihan dadah. Bagaimanapun, ketika dia berumur 19 tahun, Dowayne percaya kepada Yesus. Pengalamannya untuk meninggalkan dadah amat panjang dan meletihkan, tetapi dia akhirnya menjadi bebas dengan bantuan Tuhan dan sokongan rakan-rakannya yang juga merupakan orang yang percaya kepada Yesus. 10 tahun selepas Dowayne membina Kasino itu, dia bersama-sama orang lain menjadikannya sebuah gereja. Tempat yang sebelumnya adalah gelap dan terlarang kini menjadi sebuah tempat penyembahan Tuhan dan tempat doa.

Para pemimpin gereja ini memandang kepada Yeremia 33 tentang bagaimana Tuhan boleh membawa penyembuhan dan pemulihan kepada orang dan tempat, seperti yang dilakukan-Nya kepada Dowayne dan tempat sebelumnya Kasino. Nabi Yeremia mengatakan kepada umat Tuhan yang telah ditawan, meskipun kota mereka dihancurkan, tetapi Tuhan akan menyembuhkan umat-Nya dan akan “membangun mereka semula,” menyucikan mereka daripada dosa mereka (Yeremia 33:7–8). Maka kota itu akan mendatangkan kegembiraan, kehormatan dan kebanggaan (ayat 9).

Apabila kita dicubai untuk berputus asa kerana dosa yang membawakan kesakitan dan kehancuran hati, marilah kita terus berdoa supaya Tuhan akan mendatangkan kesembuhan dan harapan, seperti yang dilakukan-Nya di belakang sebuah rumah di Manenberg.