Pada tahun 1876, golongan orang yang menggerudi tanah untuk mencari arang di bahagian tengah Indiana, Amerika Syarikat berfikir bahawa mereka telah menemukan gerbang neraka. Seorang ahli sejarah, John Barlow Martin melaporkan bahawa di bawah tanah yang sedalam 183 meter, “berkepul-kepul asap busuk keluar di tengah-tengah kebisingan yang aneh”. Oleh sebab mereka takut bahawa mereka telah “menggerudi bumbung gua Iblis,” para pelombong itu menimbus kembali telaga itu dan bergegas pulang ke rumah mereka.

Sudah tentu para pelombong itu tersilap—dan beberapa tahun kemudian, mereka menggerudi tempat itu semula dan menjadi kaya disebabkan oleh gas asli. Meskipun mereka telah tersilap, saya sedikit mencemburui mereka. Para pelombong ini hidup dengan kesedaran tentang dunia rohani, yang sebenarnya sesuatu yang hilang dalam hidup saya. Saya cenderung kepada hidup yang seolah-olah alam ghaib jarang berlaku dalam hidup nyata dan lupa bahawa “kita tidak berjuang melawan manusia, tetapi melawan segala kuasa jahat di angkasa, iaitu roh-roh yang berkuasa dan yang memerintah zaman yang gelap ini” (Efesus 6:12).

Ketika kita melihat kejahatan bermaharajalela di dunia kita, kita tidak sepatutnya menyerah kalah atau cuba melawannya dengan kekuatan sendiri. Sebaliknya, kita haruslah melawannya dengan mengenakan “seluruh perlengkapan senjata daripada Allah” (ayat 13–18). Belajarlah Alkitab, kerap bertemu dengan orang percaya lain untuk mendapatkan dorongan, dan membuat pilihan yang dapat memanfaatkan orang lain akan membantu kita “mempertahankan diri daripada muslihat Iblis yang jahat” (ayat 11). Dengan perlengkapan Roh Kudus, kita boleh berdiri teguh ketika menghadapi apa sekali pun (ayat 13).