Pada suatu malam, ketika bekalan elektrik tiba-tiba terputus, saya berada di rumah bersama-sama dengan 2 orang anak kami yang kecil, dan itulah kali pertama mereka mengalami bekalan elektrik terputus. Selepas mengesahkan bahawa syarikat bekalan tenaga elektrik mengetahui hal itu, saya mencari beberapa batang lilin, dan kami bertiga mengelilingi nyala lilin yang berkedip-kedip itu di dapur. Anak-anak saya itu kelihatan cemas dan tidak tenang, maka kami pun menyanyi. Tidak lama kemudian wajah mereka yang resah digantikan dengan senyuman. Kadangkala kita memerlukan lagu pada waktu yang paling gelap.
Mazmur 103 mungkin adalah salah satu mazmur yang didoakan atau dinyanyikan setelah umat Tuhan kembali daripada pembuangan ke tanah air yang terbiar. Pada waktu krisis, mereka perlu menyanyi. Tetapi bukan sebarang lagu, mereka perlu menyanyi tentang siapa Tuhan dan apa yang sudah dilakukan-Nya. Mazmur 103 juga membantu kita mengingati bahawa Dia “pengasih dan penyayang, panjang sabar, dan penuh dengan kasih” (ayat 8). Andai kata kita masih tertanya-tanya adakah penghakiman dosa kita masih membebani kita, mazmur ini menyatakan bahawa Tuhan tidak marah, Dia telah mengampuni, dan Dia berbelas kasihan. Inilah perkara yang baik untuk dinyanyikan pada masa kegelapan hidup kita.
Mungkin anda berada dalam keadaan yang gelap dan sukar, tertanya-tanya sama ada Tuhan benar-benar baik atau mempersoalkan kasih-Nya kepadamu. Jika benar, berdoalah dan bernyanyilah kepada Dia yang penuh kasih.
ILHAM
Dalam Mazmur 103, Daud memuji Tuhan dan memberitahu para pembaca supaya mengingati “kebaikan-Nya” (ayat 2), secara fizikal dan rohani, termasuk pengampunan dosa dan penyembuhan segala penyakit (ayat 3). Daud menggunakan gambaran untuk menjelaskan kebaikan-kebaikan ini.Satu gambaran tentang kebaikan fizikal dilihat dalam frasa “sehingga [anda] tetap muda dan kuat seperti burung helang” (ayat 5). Ini adalah sesuai kerana helang menandakan daya hidup dan tenaga. Sesetengah pentafsir menyatakan bahawa ungkapan ini bermaksud menghilang, ibarat helang kehilangan bulu yang lama dan bulu yang baharu akan tumbuh, ini bermaksud waktu muda mereka diperbaharui.
Suatu contoh bagi kebaikan rohani diterangkan melalui gambaran-gambaran debu dan rumput (ayat 14-16). Daud menggambarkan hayat sementara manusia seperti sekuntum bunga yang berkembang untuk seketika tetapi kemudian ditiup oleh angin, ini berkontras dengan kasih Tuhan yang abadi (ayat 17).