Pada ambang tahun baru, ketika letupan bunga api yang kuat bergema melintasi pelbagai kota dan bandar raya di seluruh dunia, bunyinya memang lantang. Menurut pengilang, ciri-ciri bunga api sememangnya adalah berkilauan dan bertujuan untuk menghangatkan suasana. Bunyi bunga api “Pengulang” adalah yang paling bising, terutamanya ketika meletup berdekatan dengan tanah.

Masalah juga boleh meletup dalam hati, minda, dan di rumah kita. “Bunga api” kehidupan—pergelutan keluarga, masalah hubungan, kekangan kewangan, cabaran kerja, bahkan perpecahan di gereja—boleh dirasakan sebagai letupan, menggegarkan suasana emosi kita.

Tetapi kita mengenal Dia yang mengangkat kita mengatasi kekecohan ini. Kristuslah yang menjadi “kedamaian untuk kita”, kata Paulus dalam Efesus 2:14. Apabila kita tinggal dalam hadirat-Nya, kedamaian-Nya adalah lebih besar daripada sebarang gangguan, kebisingan akibat sebarang kerisauan, luka, atau perpecahan.

Ini telah menjadi satu jaminan yang meyakinkan bagi orang Yahudi dan bukan Yahudi. Pada suatu ketika mereka pernah “hidup di dunia ini tanpa harapan dan tanpa Allah” (ayat 12). Kini mereka menghadapi ancaman penganiayaan dan perpecahan dalaman. Tetapi dalam Kristus, mereka telah dibawa lebih dekat kepada-Nya dan satu sama yang lain, oleh darah-Nya. “Hal itu demikian kerana Kristus sendiri telah membawa kedamaian untuk kita dengan menjadikan orang Yahudi dan orang bukan Yahudi satu umat” (ayat 14).

Ketika kita memulakan tahun baru, dengan ancaman rusuhan dan perpecahan yang selalu bergema di merata tempat, marilah kita beralih daripada kebisingan dalam ujian kehidupan untuk mencari Kedamaian yang sentiasa ada bagi kita. Dia dapat menenangkan kebisingan dan menyembuhkan kita.