Kegiatan penurunan bola raksasa dilangsungkan di lapangan Times Square di New York. Orang ramai menantikan saat loceng besar Big Ben di London berdentang dan menunjukkan tahun baru sudah tiba. Pertunjukan bunga api menerangi langit Pelabuhan Sydney. Apa pun cara bandar anda meraikannya, tentu ada sesuatu yang menarik untuk menyambut tahun baru dan permulaan yang baru. Pada Hari Tahun Baru, kita memasuki halaman hidup baru. Apakah persahabatan dan peluang baru yang mungkin kita dapat?

Selain segala kegembiraan dalam perayaan ini, tahun baru boleh meresahkan orang. Kita tidak dapat meramal hal yang bakal berlaku. Banyak tradisi Tahun Baru mencerminkan dua hal. Pertama, bunga api dicipta dari China dengan kepercayaan bahawa ia mengusir roh jahat dan membawa kemakmuran. Kedua, azam Tahun Baru bermula daripada orang Babilonia yang bersumpah untuk menyembah dewa-dewa mereka. Ia adalah usaha untuk menjamin masa depan yang tidak diketahui.

Pada waktu orang Babilonia tidak bersumpah, mereka sibuk menakluki bangsa lain termasuk Israel. Pada waktu itu, Tuhan mengirim pesanan ini kepada orang Yahudi yang dijadikan hamba: “Janganlah takut! … Apabila kamu menyeberangi laut yang dalam, Aku akan menyertai kamu” (Yesaya 43:1–2). Yesus mengatakan hal yang sama ketika Dia dan pengikut-pengikut-Nya berhadapan dengan ribut yang dahsyat ketika belayar. Dia berkata kepada mereka sebelum memerintahkan lautan menjadi tenang, “Mengapakah kamu takut?” (Matius 8:23–27).

Hari ini, kita melangkah dari pantai ke perairan baru. Apa sahaja yang kita hadapi, Dia yang berkuasa untuk menenangkan ribut sentiasa menyertai kita.