Ketika Rebecca tahu bahawa adik lelaki dan isterinya mula mengalami masalah perkahwinan, Rebecca berdoa dengan bersungguh-sungguh agar mereka dapat berdamai. Tetapi akhirnya mereka bercerai. Kemudian adik iparnya membawa anak-anak mereka ke luar negeri dan ayah mereka tidak membantah. Rebecca tidak lagi melihat anak saudaranya yang sangat disayanginya. Beberapa tahun kemudian, Rebecca berkata, “Oleh sebab aku berusaha mengatasi kesedihan ini sendirian, aku membiarkan akar kepahitan bertumbuh dalam hatiku, dan ia mula menyebar kepada keluarga serta rakan-rakan aku.”
Kitab Rut mengisahkan seorang wanita bernama Naomi yang bergelut dengan hati penuh kesedihan yang bertukar menjadi kepahitan. Suaminya meninggal di tanah asing dan 10 tahun kemudian kedua-dua anak lelakinya pun meninggal. Dia menjadi sangat miskin bersama dengan menantunya, Rut dan Orpa (Rut 1:3–5). Ketika Naomi dan Rut kembali ke negara asal Naomi, seluruh kota teruja ketika melihat mereka. Tetapi Naomi berkata kepada rakan-rakannya: “Allah Yang Maha Kuasa telah menjadikan kehidupan saya pahit … Tuhan Yang Maha Kuasa telah menghukum saya dengan banyak penderitaan” (ayat 20–21). Dia bahkan meminta mereka memanggilnya “Mara” yang bermaksud pahit.
Siapakah yang tidak pernah mengalami kekecewaan dan kepahitan? Seseorang mengatakan sesuatu yang menyakiti hati, harapan tidak tercapai, atau tuntutan orang lain yang membuat kita marah. Apabila kita bersikap jujur terhadap diri kita dan Tuhan tentang apa yang ada di lubuk hati, Tukang Kebun kita yang lemah lembut dapat menolong kita mengorek akar kepahitan sama ada ia masih kecil ataupun sudah tumbuh bertahun-tahun lamanya. Dia dapat menggantikannya dengan roh yang manis dan membawa sukacita.