Dalam sebuah ceramah mengenai asal usul orang Indonesia, seorang ahli politik berkongsi bahawa ujian DNAnya mendedahkan satu kejutan: darahnya mengandungi sedikit gen orang Samaria. Dia amat berbangga atas warisan ini. Bagi dia, kisah orang Samaria yang baik hati dalam Alkitab merupakan satu teladan yang berbuat kebajikan tanpa syarat.

Namun orang yang pertama kali mendengar kisah orang Samaria yang baik hati mungkin tidak akan berpendapat sama. Orang Samaria dipandang rendah oleh orang Yahudi kerana mereka berdarah kacukan: keturunan orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi yang menyembah berhala. Tetapi apabila Yesus memberitahukan perumpamaan untuk menggambarkan siapa itu sesama kita, Dia menjadikan orang Samaria wira (Lukas 10:30-37). Apabila seorang Yahudi dipukul di tepi jalan, 2 orang sebangsanya menyeberang jalan dan meneruskan perjalanan. Bagaimanapun, seorang Samaria “melihat orang itu, hatinya penuh belas kasihan” (ayat 33). Dia memastikan orang yang tercedera itu dijaga dengan baik sebelum dia pergi mengendalikan urusan sendiri. Yesus mengatakan seseorang yang melihat keperluan dan menjangkau untuk memenuhi keperluan itu ialah sesama kita.

Apabila kebanyakan orang dalam masyarakat kita sibuk melakukan urusan sendiri, kebaikan sesama manusia boleh mudah hilang sahaja. Mungkin kita tidak mempunyai gen orang Samaria, tetapi sebagai orang percaya yang mengasihi Tuhan, mari kita sudi mengizinkan gangguan muncul dalam jadual harian kita, melihat orang di sekeliling dan menjangkau serta mempedulikan orang yang memerlukan bantuan.