“Aku tahu di mana Tuhan tinggal,” kata cucu kami yang berusia 4 tahun kepada isteri saya, Cari. Dia sangat ingin tahu jawapannya lalu bertanya, “Di manakah tempat itu?” Cucu kami menjawab, “Dia tinggal di hutan sebelah rumah nenek.”

Cari tertanya-tanya apa yang mencetuskan pemikiran cucu kami. “Aku tahu,” jawab saya. “Ketika kami berjalan-jalan di hutan sebelum ini, aku memberitahunya bahawa walaupun kita tidak dapat melihat Tuhan, kita dapat melihat hal-hal yang dilakukan-Nya.” Saya bertanya kepada cucu saya ketika kami melangkah di tempat berpasir di tepi sungai, “Adakah kamu nampak tapak kaki atuk?” “Haiwan dan pokok serta sungai adalah seperti tapak kaki Tuhan. Kita tahu bahawa Dia ada di sini kerana kita dapat melihat ciptaan-Nya.”

Penulis Mazmur 104 juga menunjukkan bukti bahawa Tuhan wujud, “Ya TUHAN, sungguh banyak ciptaan-Mu! Sungguh bijak Engkau mencipta semuanya! Bumi penuh dengan makhluk ciptaan-Mu” (ayat 24). Perkataan “bijak” dalam bahasa Ibrani sering digunakan dalam Alkitab untuk menggambarkan tukang yang mahir. Hasil karya Tuhan di alam semesta menyatakan hadirat-Nya dan membuat kita ingin memuji-Nya.

Mazmur 104 dimulakan dan diakhiri dengan kata-kata: “Pujilah TUHAN” (ayat 1,35). Dari tangan seorang bayi sehingga mata seekor burung helang, hasil seni Pencipta kita berbicara tentang kemahiran-Nya yang sempurna. Semoga kita berasa kagum atas segala ciptaan-Nya pada hari ini dan memuji Dia!