Selama beberapa tahun, sepasang suami isteri Britain yang tinggal di Afrika Barat menjalinkan persahabatan yang erat dengan seorang lelaki di kota mereka. Pasangan ini selalu berkongsi tentang kasih Yesus dan kisah keselamatan kepadanya. Akan tetapi lelaki itu tidak mahu melepaskan agamanya dan memeluk agama lain walaupun dia menyedari bahawa kepercayaan kepada Kristus adalah “kebenaran yang lebih besar.” Sebahagian kekhuatirannya adalah soal kewangan kerana dia merupakan pemimpin agamanya dan mendapat ganjaran daripadanya. Dia juga takut reputasinya akan terjejas di kalangan komunitinya.

Dengan sedih dia memberi penjelasan, “Aku seperti orang yang memancing di sebatang sungai dengan tanganku. Aku telah menangkap seekor ikan kecil, tetapi ada lagi ikan yang lebih besar. Untuk menangkap ikan yang besar itu, aku harus melepaskan ikan yang kecil!”

Pemimpin muda yang kaya dalam Matius 19 mempunyai masalah yang serupa. Ketika dia datang kepada Yesus dan bertanya, “Guru, perbuatan baik apakah yang harus saya lakukan supaya beroleh hidup sejati dan kekal?” (ayat 16). Dia kelihatan ikhlas tetapi tidak mahu menyerahkan seluruh kehidupannya kepada Yesus. Dia bukan sahaja seorang yang kaya, malah seorang yang angkuh kerana mentaati hukum Tuhan. Walaupun dia menginginkan hidup yang kekal, dia lebih cinta akan hal lain dan menolak kata-kata Kristus.

Apabila kita dengan rendah hati menyerahkan hidup kepada Yesus dan menerima anugerah keselamatan-Nya dengan percuma, Dia menjemput kita, “marilah, ikutlah Aku” (ayat 21).