Maraton zaman moden adalah berdasarkan kisah seorang utusan Yunani yang bernama Pheidippides. Menurut legenda, pada tahun 490 SM, dia berlari sejauh kira-kira 40 kilometer dari Marathon ke Athens untuk mengumumkan kemenangan bangsa Yunani ke atas pencerobohan tentera Persia yang hebat. Pada hari ini, orang menyertai perlumbaan maraton untuk kepuasan peribadi dan pencapaian olahraga, tetapi Pheidippides mempunyai tujuan yang lebih besar di sebalik usahanya: setiap langkah lariannya adalah untuk menyampaikan berita baik kepada orang sebangsanya dengan penuh kegembiraan!

Kira-kira 500 tahun kemudian, ada 2 wanita juga berlari untuk menyampaikan berita baik yang paling penting dalam sejarah. Ketika Maria dan Maria Magdalena tiba di kubur Yesus setelah penyaliban-Nya, mereka mendapati ia kosong. Malaikat Tuhan memberitahu mereka bahawa Yesus telah “dibangkitkan daripada kematian” dan “cepatlah pergi dan beritahu pengikut-pengikut-Nya” (Matius 28:7). Kedua-dua wanita itu “takut tetapi juga bersukacita. Lalu mereka lari memberitahu pengikut-pengikut Yesus” (ayat 8).

Semoga kita memiliki kegembiraan yang sama dalam kebangkitan Yesus, dan semoga ini dapat mendorong kita untuk berkongsi berita baik kepada orang lain. Kita mungkin tidak perlu “berlari” ke tempat jauh untuk mencari seseorang yang perlu mengenal Penyelamat kita. Dia telah mengalahkan maut sehingga kita memperoleh hidup yang berkemenangan bersama dengan Tuhan selamanya!