Victor Hugo (1802-1885) ialah seorang penyair dan novelis semasa berlakunya pergolakan sosial dan politik di Perancis pada abad ke-19. Dia mungkin paling terkenal dengan karya klasiknya Les Miserables. Lebih daripada 1 abad kemudian, sebuah muzikal yang diadaptasi daripada novelnya telah menjadi salah satu karya yang paling popular bagi generasi kita. Ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Sebagaimana dikatakan Hugo, “Muzik menyuarakan apa yang tidak boleh kita katakan dan yang tidak mungkin dibungkam.”
Para pemazmur pasti menyetujuinya. Lagu-lagu mazmur dan doa mereka menyatakan renungan yang jujur terhadap kehidupan dan keperitan yang tidak dapat dielakkan. Kesemua ini menyentuh jiwa kita yang terdalam. Contohnya dalam Mazmur 6:7, Daud berseru, “Aku tidak bermaya kerana dilanda kesedihan; setiap malam tempat tidurku dibasahi tangisan; bantalku dibasahi air mata.”
Kenyataan tentang kejujuran seperti itu termasuk dalam lagu-lagu mazmur Alkitab memberi dorongan besar kepada kita. Ia mengundang kita membawa ketakutan kepada Tuhan, yang menyambut kita ke dalam hadirat-Nya untuk mengalami penghiburan dan pertolongan-Nya. Dia merangkul kejujuran kita yang seadanya.
Muzik dapat memberi kita kemampuan untuk menyatakan perasaan ketika kata-kata sukar diungkapkan. Tetapi sama ada pernyataan itu dinyanyikan, didoakan, ataupun ditangisi secara senyap, Tuhan dapat menjangkau jiwa kita yang terdalam dan memberi kita kedamaian-Nya.