Dua orang lelaki dikenang kerana beban dan komitmen mereka dalam pelayanan. Mereka rela meninggalkan kerjaya mereka dalam bidang seni dan mendedikasikan diri dalam panggilan Tuhan. James O. Fraser (1886–1938) memutuskan untuk tidak menjadi pemain piano konsert di England kerana ingin melayani bangsa Lisu di China, manakala Judson Van DeVenter dari Amerika (1855-1939), memilih untuk menjadi penginjil dan tidak meneruskan kerjaya dalam bidang seni. Dia kemudian menggubah lagu “I Surrender All” (“Aku Berserah”).
Bagi kebanyakan orang, melibatkan diri dalam pelayanan bidang seni merupakan panggilan yang ideal. Tetapi bagi kedua-dua hamba Tuhan ini, mereka percaya bahawa Tuhan memanggil mereka untuk melepaskan kerjaya demi tujuan lain. Mungkin mereka mendapat inspirasi daripada Yesus yang menasihati pemimpin muda yang kaya untuk menyerahkan harta miliknya demi mengikut Dia (Markus 10:17–25). Setelah menyaksikan hal itu, Petrus berkata, “Lihatlah, kami sudah meninggalkan segala-galanya lalu mengikut Guru” (ayat 28). Yesus meyakinkannya bahawa Tuhan akan memberi orang yang mengikut-Nya “seratus kali ganda dalam dunia ini” dan hidup kekal (ayat 30, AVB). Tetapi Dia akan memberi menurut hikmat-Nya: “Banyak orang yang sekarang ini terdahulu akan menjadi yang terakhir, dan yang sekarang ini terakhir akan menjadi yang terdahulu” (ayat 31).
Tidak kira di mana pun Tuhan menempatkan kita, kita diminta untuk menyerahkan hidup setiap hari kepada Kristus, mentaati panggilan-Nya yang lembut untuk mengikut-Nya, serta melayani Dia dengan bakat dan sumber kita sama ada di rumah, pejabat, komuniti, atau jauh dari rumah. Apabila kita berbuat demikian, Dia akan memberi inspirasi kepada kita untuk mengasihi orang lain dan mengutamakan kepentingan orang lain.