20 tahun telah berlalu sebelum John McCarthy, seorang wartawan British—orang tawanan selama 5 tahun semasa perang saudara Lebanon—bertemu dengan orang yang membuat rundingan pembebasannya. Ketika McCarthy akhirnya bertemu dengan utusan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu), Giandomenico Picco, McCarthy hanya berkata, “Terima kasih atas usaha membebaskan saya!” Kata-katanya pendek tetapi penuh dengan kesyukuran kerana Picco telah mempertaruhkan nyawanya semasa rundingan yang berbahaya demi mendapatkan pembebasan McCarthy dan orang tawanan lain.

Kita sebagai orang percaya dapat memahami betapa bernilainya kebebasan. Yesus menyerahkan nyawa-Nya dan menanggung kematian pada kayu salib Roma demi menjamin kebebasan rohani semua orang termasuk diri kita. Sebagai anak-anak-Nya, kita tahu bahawa “Kita sekarang bebas, kerana Kristus telah membebaskan kita” (Galatia 5:1), kata rasul Paulus dengan berani.

Kitab Yohanes juga mengajarkan kebebasan dalam Kristus, “Jika Anak membebaskan kamu, kamu benar-benar bebas” (Yohanes 8:36).

Tetapi apakah kebebasan itu? Dalam Yesus, kita bukan sahaja mengalami kebebasan daripada genggaman dosa, malah daripada rasa bersalah dan malu, kebimbangan, dusta Iblis, kepercayaan karut, ajaran palsu dan kematian yang kekal. Kita tidak lagi menjadi orang tawanan, tetapi memiliki kebebasan untuk menunjukkan kasih kepada musuh, menunjukkan kebaikan, hidup dengan harapan dan mengasihi sesama. Apabila kita mengikut pimpinan Roh Kudus, kita dapat mengampuni kerana kita telah diampuni.

Untuk semua ini, marilah kita mengucap syukur kepada Tuhan pada hari ini. Marilah kita mengasihi orang lain agar mereka juga dapat mengetahui kuasa pembebasan-Nya.