“Aku suka menjahit!” seru kawan saya. Dia mengingati waktu dia membesar dengan neneknya yang membuat baju untuknya. Setiap kali dia mendengar bunyi mesin jahit, dia berasa sangat gembira dan berfikir apa corak baju yang dibuat neneknya.
Kini kawan saya sudah dewasa, dia juga menjahit baju dan ingin menurunkan kemahiran ini kepada anak perempuannya. Walaupun anaknya hanya berumur 5 tahun, kawan saya selalu membawanya ke gudang-gudang kain untuk membangkitkan minatnya.
Dalam sesetengah kebudayaan, sesuatu kemahiran, perniagaan atau sistem kepercayaan diturunkan daripada satu generasi ke generasi seterusnya adalah umum. Seseorang menurunkan apa yang dipelajari daripada ibu bapa kepada anak-anaknya. Dalam surat Paulus kepada Timotius, Paulus menyebut iman tulen nenek dan ibu Timotius, iaitu Lois dan Eunike. Mungkin kedua-dua wanita ini telah berkongsi firman Tuhan kepada Timotius sejak kecil sehingga dia membuat keputusan untuk percaya kepada Yesus sebagai Penyelamat-Nya (2 Timotius 3:15).
Bagaimana pula dengan kita? Apakah yang kita lakukan untuk menurunkan iman kita kepada generasi yang akan datang? Melalui dorongan daripada kasih Tuhan dan kekuatan daripada Roh Kudus (2 Timotius 1:7), kita boleh berkongsi berita baik tentang Yesus melalui kata-kata dan perbuatan kita yang menunjukkan teladan hidup seorang pengikut Kristus (2 Timotius 2:2). Selain menurunkan kemahiran yang praktikal, kita boleh menurunkan iman kita yang berharga.