Tempat tinggal saya terletak berhampiran dengan kedai pembaikan rumah yang mempunyai butang hijau besar di salah satu bangunannya. Sekiranya tiada pekedai di situ, maka anda boleh menekan butang tersebut dan pemasa akan bermula. Jika anda tidak diberikan perkhidmatan dalam masa 1 minit, anda akan mendapat potongan harga untuk pembelian anda.

Kita suka menjadi pelanggan yang berada dalam senario ini yang menikmati perkhidmatan pantas. Tetapi permintaan untuk perkhidmatan pantas sering membawa tekanan apabila kita yang diharapkan untuk memberikan perkhidmatan tersebut. Hari ini, ramai antara kita berasa terburu-buru melakukan pekerjaan, bekerja selama berjam-jam, sering memeriksa e-mel dalam masa sehari, dan berasa tertekan untuk memenuhi jadual kerja yang lebih ketat. Taktik perkhidmatan pelanggan dari kedai pembaikan rumah ini telah meresap ke dalam semua aspek kehidupan kita dan mewujudkan budaya tergesa-gesa.

Ketika Tuhan menyuruh orang Israel mentaati hari Sabat, Dia menambahkan satu sebab penting: “Ingatlah bahawa dahulu kamu diperhamba di negeri Mesir” (Ulangan 5:15). Di sana mereka terpaksa bekerja tanpa henti dalam sekatan masa Firaun yang melampau (Keluaran 5:6–9). Setelah dibebaskan, mereka harus menetapkan satu hari rehat dalam seminggu untuk memastikan mereka dan abdi yang melayani mereka dapat berehat (Ulangan 5:14). Di bawah pemerintahan Tuhan, tiada lagi tekanan kerja keras yang membuat kita tercungap-cungap.

Berapa kerap anda bekerja sehingga letih atau tidak dapat bersabar dengan orang yang membuat anda menunggu? Mari kita mengambil masa untuk berehat. Budaya terburu-buru merupakan perbuatan Firaun, dan bukannya Tuhan.