Pada tahun 1994, ketika sistem pemerintahan Afrika Selatan beralih daripada aparteid (sistem perkauman) kepada demokrasi, negara ini menghadapi cabaran sukar untuk menangani jenayah yang dilakukan semasa aparteid. Pemimpin-pemimpin negara ini tidak dapat mengabaikan apa yang berlaku sebelumnya. Akan tetapi dengan semata-mata menjatuhkan hukuman berat kepada pihak yang bersalah, ia hanya akan memperdalam lagi luka negara. Seperti yang dijelaskan oleh Desmond Tutu, Uskup Agung Anglikan berkulit hitam yang pertama di Afrika Selatan dalam bukunya ‘No Future Without Forgiveness’ (Tiada Masa Depan Tanpa Pengampunan), “Kita boleh mendapat keadilan, keadilan yang bersifat balas dendam, dan membuat Afrika Selatan terbaring dalam abu.”

Dengan penubuhan Jawatankuasa Kebenaran dan Pendamaian, kerajaan demokratik baru ini memilih jalan sukar untuk menegakkan kebenaran, keadilan dan belas kasihan. Mereka yang bersalah ditawarkan pemulihan jika mereka bersedia mengakui jenayah mereka dan berusaha untuk melakukan penggantian rugi. Hanya dengan berani menghadapi kebenaran, barulah negara itu dapat menemukan pemulihan.

Pada hakikatnya, dilema yang dihadapi oleh Afrika Selatan mencerminkan pergelutan yang kita hadapi. Kita dipanggil untuk mengejar keadilan dan belas kasihan (Mikha 6:8). Tetapi belas kasihan sering disalahfahamkan sebagai kurangnya pertanggungjawaban, manakala mengejar keadilan dapat diputarbelitkan kepada balasan dendam.

Satu-satunya jalan yang kita mara ke hadapan adalah kasih yang tidak hanya “membenci apa yang jahat” (Roma 12:9), malahan juga merindukan “sesama manusia” mengalami pembaharuan dan kebaikan (13:10). Melalui kekuatan Roh Kudus, kita dapat belajar tentang apa ertinya memiliki masa depan yang mengalahkan kejahatan dengan kebaikan (12:21).