Sebanyak 34,000 buah rumah di sebuah negeri di Amerika Syarikat berisiko untuk mengalami keruntuhan disebabkan asasnya yang bermasalah. Tanpa disedari, sebuah syarikat konkrit menarik batu yang terikat dengan mineral dari sebuah kuari, sehingga konkrit retak dan hancur setelah suatu jangka waktu. Asas untuk hampir 600 buah rumah telah musnah, dan angka itu dijangka akan melonjak setelah suatu jangka waktu.
Yesus menggunakan perumpamaan membina sebuah rumah di atas asas yang tidak kukuh untuk menjelaskan risiko yang jauh lebih berbahaya sekiranya kita membina kehidupan kita di atas tanah yang tidak stabil. Dia menjelaskan bahawa bagi orang yang membina kehidupan di atas batu yang kukuh, mereka akan bertahan dengan kuat walaupun menghadapi ribut kencang. Namun, bagi orang yang membina kehidupan di atas pasir; dan apabila ribut kencang melanda, “alangkah dahsyatnya kerosakan” hidupnya (MATIUS 7:27). Perbezaan antara kehidupan yang dibina di atas asas yang kukuh dan yang rapuh adalah sama ada kita “menurut” kata-kata Kristus (AYAT 26). Dengan kata lain, kita bukan sahaja mendengar firman-Nya, malah kita mentaatinya berdasarkan kuasa-Nya.
Kita boleh mendapat banyak hikmat, pertolongan dan nasihat yang baik dan membantu di dunia ini. Jika kita membina kehidupan kita di atas mana-mana asas selain daripada ketaatan pada kebenaran Tuhan, kita mengundang masalah. Dalam kekuatan-Nya, melakukan apa yang diperintah Tuhan merupakan satu-satunya cara untuk membina hidup kita di atas batu.