Anak kucing yang kotor itu duduk diam di lantai konkrit sambil merenung ke arah saya. Kucing ini hidup bersama dengan adiknya di tempat letak kereta bawah tanah, tempat kerja pelanggan saya. Dengan perasaan simpati, saya memberikan makanan kucing kepada pengawal keselamatan supaya kucing-kucing itu ada makanan setiap hari. Saya juga membelikan makanan yang baru setelah habis.

Namun apabila pengawal keselamatan itu ditugaskan ke tempat lain pada suatu hari, saya berdoa, “Tuhan, kesemua anak kucing ini ialah ciptaan-Mu. Tolong hantarlah seseorang yang boleh bantu memberi makanan kepada kucing ini.” Tetapi saya masih ragu-ragu: Adakah Tuhan akan mendengar permintaan doa ini? Pastilah Dia ada hal yang lebih penting?

Rasul Paulus mengingatkan kita dalam Filipi 4:6: “Janganlah khuatir akan apa pun. Dalam segala hal, berdoalah dan mintalah kepada Allah apa yang kamu perlukan. Apabila berdoa kepada Allah, hendaklah kamu selalu mengucap syukur.” Kita mempunyai Bapa pengasih yang merindukan kita membawa segala kerisauan kepada Dia—walaupun hal yang nampak remeh.

Pada lewat petang itu, seorang penjaga bangunan tua yang telah bekerja selama bertahun-tahun datang kepada saya. Sebelum saya sempat menyebut perkara ini, penjaga bangunan yang baik hati itu pula berkata, “Memandangkan pengawal keselamatan itu tidak lagi bekerja di sini, aku boleh memberi makanan kepada kucing-kucing itu.”

Kita boleh yakin bahawa tiada apa-apa yang terlalu susah atau terlalu remeh bagi Tuhan. Setiap kebimbangan atau perkara yang begitu penting bagi kita adalah juga penting bagi Dia. Marilah kita menyerahkan segala sesuatu kepada-Nya.