Warren berpindah ke sebuah bandar kecil untuk menggembalakan sebuah gereja. Setelah pelayanannya berhasil, seorang penduduk tempatan bertindak melawannya. Lelaki tersebut mereka-reka cerita dan menuduh Warren telah melakukan sesuatu yang sangat buruk. Lelaki itu juga menghantar cerita itu ke pejabat akhbar tempatan dan cuba mencetak tuduhannya dalam risalah untuk diedarkan kepada penduduk tempatan melalui pos. Warren dan isterinya mula berdoa dengan bersungguh-sungguh. Jika pembohongan itu dipercayai, kehidupan mereka akan musnah.

Raja Daud pernah mengalami sesuatu yang serupa. Musuhnya juga memfitnahnya. Dia berkata, “Sepanjang hari musuhku menyusahkan aku; mereka sentiasa berusaha untuk mencelakakan aku.” (Mazmur 56:6). Serangan berterusan ini menyebabkan dia dipenuhi ketakutan dan tangisan (AYAT 9). Namun di tengah-tengah peperangan, dia mengucapkan doa yang berkuasa ini: “Ketika aku takut, ya Allah Yang Maha Kuasa, aku berharap kepada-Mu … apakah yang dapat dilakukan manusia terhadapku?” (AYAT 4-5).

Doa Daud boleh menjadi teladan bagi kita pada hari ini. Ketika aku takut—pada masa ketakutan atau ketika menghadapi tuduhan, kita datang kepada Tuhan. Aku berharap kepada-Mu—kita menyerahkan pertempuran kita dalam tangan Tuhan yang berkuasa. Apakah yang dapat dilakukan manusia terhadapku?—apabila kita menghadapi kesusahan dengan Dia, kita ingat betapa terhadnya kuasa-kuasa musuh kita.

Akhbar tempatan tidak mempedulikan cerita rekaan tentang Warren. Atas beberapa sebab, risalah tersebut tidak pernah diedarkan. Apakah pertempuran yang anda hadapi pada hari ini? Beritahulah kepada Tuhan. Dia bersedia untuk berjuang bersama dengan anda.