Dalam satu episod pertandingan bakat bagi rancangan televisyen yang terkenal, America’s Got Talent, seorang budak perempuan berusia 5 tahun menyanyi dengan sungguh gembira sehingga seorang hakim membandingkannya dengan seorang kanak-kanak yang terkenal sebagai penyanyi dan penari pada tahun 1930-an. Dia berkata, “Saya rasa Shirley Temple hidup di dalam anda.” Namun dia memberi jawapan yang tidak dijangka: “Bukan Shirley Temple. Yesus!”

Saya kagum dengan kesedaran mendalam budak itu bahawa kegembiraannya datang daripada Yesus yang tinggal di dalamnya. Alkitab meyakinkan kita tentang realiti yang luar biasa bahawa semua orang yang percaya kepada-Nya bukan hanya menerima janji hidup kekal dengan Tuhan tetapi juga hadirat Yesus yang hidup di dalamnya melalui Roh-Nya—hati kita ialah tempat kediaman Yesus (Kolose 1:27; Efesus 3:17).

Hadirat Yesus dalam hati kita menjadikan kita orang yang penuh kesyukuran (Kolose 2:6–7). Dia memberi kita kemampuan untuk hidup dengan tujuan dan kuasa (1:28–29). Dia memupuk kegembiraan dalam hati kita di tengah-tengah semua keadaan, baik pada saat perayaan dan masa pergelutan (Filipi 4:12–13). Roh Kristus memberikan harapan kepada hati kita bahawa Tuhan mengendalikan semua perkara untuk kebaikan kita, walaupun kita tidak dapat melihatnya (Roma 8:28). Roh Tuhan juga memberi kedamaian yang berterusan tanpa menghiraukan kekacauan di sekitar kita (Kolose 3:15).

Dengan keyakinan yang datang daripada Yesus yang tinggal dalam hati kita, hadirat-Nya dalam kita dapat bersinar sehingga menangkap perhatian orang lain.