Dalam keadaan Gurun Sonora yang teruk di Amerika Utara, ada waktunya pada larut malam seseorang dapat mendengar bunyi lolongan yang samar-samar. Tetapi anda mungkin tidak menyangka apa bunyi itu—tikus belalang kecil namun kuat, melolong terhadap bulan untuk mengisytiharkan kawasan miliknya.

Tikus unik ini (digelar “tikus serigala jadian”) juga karnivor. Sebenarnya, ia adalah pemangsa kepada beberapa makhluk yang tidak berani diburu oleh binatang lain, seperti kala jengking. Tetapi tikus ini dilengkapi secara unik untuk pertempuran itu. Ia bukan sahaja mempunyai ketahanan terhadap racun kala jengking, tetapi juga dapat mengubah racun menjadi ubat penahan sakit!

Tikus kecil yang tahan lasak ini memang memberi inspirasi: dicipta khas untuk bertahan, bahkan mampu membiak dalam persekitaran yang teruk. Seperti yang dijelaskan oleh Paulus dalam Efesus 2:10, ciri yang luar biasa ini juga menggambarkan penciptaan Tuhan untuk umat-Nya. Kita masing-masing adalah “ciptaan Allah” dalam Yesus, yang dilengkapi secara unik untuk menyumbang kepada Pemerintahan-Nya. Apa jua kurnia anda yang diberikan oleh Tuhan, anda dapat menyumbangkannya dalam banyak perkara. Ketika anda yakin tentang siapa anda menurut ciptaan Tuhan, anda dapat menjadi saksi yang hidup untuk berkongsi kegembiraan dan harapan dalam Dia.

Oleh itu, ketika anda menghadapi apa sahaja yang membawa ancaman dalam hidup anda sendiri, tetaplah berani. Anda mungkin berasa kecil dan tidak berdaya, tetapi melalui kurnia dan kuasa yang diberikan oleh Roh Kudus, Tuhan dapat memakai anda untuk melakukan hal-hal yang besar.