Selama lebih daripada 50 tahun, ayah saya berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam penyuntingannya. Keghairahannya bukan setakat mencari kesalahan, tetapi juga menjadikan teksnya lebih baik dari segi kejelasan, logik, kelancaran, dan tatabahasa. Ayah menggunakan pen hijau untuk membuat pembetulan, dan bukannya pen merah. Pen hijau dirasakannya lebih “ramah”, sementara garis-garis merah mungkin kelihatan tidak menyenangkan kepada penulis yang baru atau yang kurang yakin. Objektifnya adalah dengan lembut menunjukkan cara yang lebih baik.
Apabila Yesus memperbetul orang, Dia melakukannya dalam kasih. Dalam beberapa peristiwa— seperti ketika Dia berhadapan orang Farisi yang munafik (Matius 23)—Dia menegur mereka dengan keras, namun ini adalah untuk manfaat mereka. Tetapi Yesus menegur sahabat-Nya, Marta dengan cara lembut (Lukas 10:38–42). Sementara orang Farisi memberi reaksi yang buruk terhadap teguran-Nya, Marta tetap menjadi salah satu teman yang dikasihi-Nya (Yohanes 11:5).
Teguran boleh menjadi tidak selesa dan hanya sebilangan kecil orang menyukainya. Kadang-kadang, kerana keangkuhan, kita sukar menerimanya dengan rendah hati. Kitab Amsal kerap mengatakan kebijaksanaan dan menunjukkan bahawa “mengendahkan tegur ajar” adalah tanda kebijaksanaan dan pengertian (15:31–32).
Tegur ajar Tuhan yang penuh kasih menolong kita membetulkan arah kita dan mengikut-Nya dengan lebih dekat. Mereka yang menolak tegur ajar Tuhan diberi amaran keras (ayat 10), tetapi mereka yang mengendahkannya melalui kuasa Roh Kudus akan memperoleh kebijaksanaan dan pengertian (ayat 31-32).
ILHAM
Terdapat sekurang-kurangnya 2 cara untuk meneliti teguran Yesus terhadap Marta dalam Lukas 10:38-42. Misalnya, mendengar Dia memberitahu Marta dengan lemah lembut untuk melakukan perkara penting terlebih dahulu: menyertai Maria dan duduk bersama-sama dengan para pengikut yang lain di hadapan-Nya, mendengar ajaran-Nya. Dia akan ada masa untuk menyediakan makanan kemudian.Satu kemungkinan lagi adalah mendengar Guru yang penuh kasih menunjukkan keadaan dalam hati Marta. Marta marah pada Maria, tetapi dia juga kelihatan seolah-olah mempersoalkan keprihatinan Yesus terhadapnya. Tidakkah Dia peduli bahawa dia harus melakukan semua kerja itu seorang diri? Mungkin Yesus mahu Marta memahami bahawa jika dia melayani para tetamunya kerana kasih kepada-Nya dan orang lain—jadi tiada sesuatu pun dapat mempengaruhi kesetiaan dan kasihnya terhadap Yesus, seperti Maria.